Thursday, 28 June 2012

Pahala Senang Dirancang

Renungkan sedalam-dalamnya dunia tanpa sedar kita. Telusuri setiap perbuatan, perkataan, tingkahlaku, respon, langkah dan sebagainya. Adakah kita ini seorang manusia yang benar-benar perancang kehidupan yang baik? Yang sempurna?


Selepas solat subuh, terlintas di hati dan fikiran saya tentang perbuatan yang mengundang pahala dan dosa. Sebenarnya, segala perbuatan baik yang mendekatkan kita kepada pahala mudah dan senang untuk dirancang. Pahala boleh diraih dengan adanya strategi serta perancangan yang khusus. Hal ini membuktikan bahawa, secara logik akal serta daya usaha dan imaginasi manusia yang lemah, boleh disimpulkan bahawa, kita boleh MERANCANG untuk ke syurga Allah! Atau MERANCANG untuk meraih redha Allah swt!


Dosa atau perbuatan yang buruk juga boleh berlaku dengan adanya perancangan serta strategik. Contohnya perbuatan zina. Ia tidak boleh berlaku tanpa adanya perancangan serta strategi yang khusus. Tidak ada perkataan TER-lanjur dalam perbuatan zina (dosa). Namun, manusia boleh terjebak atau terlintas di hati dan fikirannya untuk melakukan dosa adalah tidak dirancang! Ia adalah lintasan yang kadangkala datang secara tiba-tiba! Malah ia datang dari bisikan yang tidak dijangka! Astagfirullah! Beristigfarlah!!


Friman Allah swt Surah An Nass, ayat 1-6


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. "Yang Menguasai sekalian manusia, "Tuhan Yang berhak disembah oleh sekalian manusia, "Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam, -"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia, -"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

Inilah sumber dari segala kejahatan. Ia datang tanpa perancangan sedar manusia! Walaupun hari ini manusia telah merancang untuk kembali kepada Allah swt, namun, suara lintasan ini masih ada jelas didengari! Ia sangat akrab jika tiada kesungguhan yang tulen. Bisikan ini mampu ditolak, dinafikan, dilawan dengan adanya keikhlasan dalam merancang kebaikan (pahala)

Iblis si penghasut kepada kecelaruan manusia pernah mengakui bahawa:

Iblis berkata, "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semua (keturunan Adam), kecuali hamba-Mu yang mukhlis (yang ikhlas) di antara mereka". 

Surat Sad ayat 82-83

Maka, hari ini, mari kita tingkatkan kesedaran Ilahiah kita dengan mengakui dan menanam azam untuk melawan suara-suara eksternal yang mempengaruhi internal anda! Segalanya kembali kepada kita. Andalah yang menentukan ya atau tidak selepas menerima bisikan itu. Bisikan itu hanyalah bersifat heterosuggestion. Manakala penentuan destinasi nasib dan hala tuju kehidupan serta perbuatan anda adalah bersifat autosuggestion

Kitalah yang menentukan (dalam bentuk praktikal) untuk masuk syurga atau neraka. Memang benar, syurga dan neraka itu adalah penentuan dari Yang Maha Menentukan, tetapi secara manusiawi, perbuatan kita juga adalah penyumbang kepada arah nasib kita disana!

Ingatlah, perbuatan baik yang boleh mendekatkan kita kepada rahmat serta pahala dari Allah swt boleh dan mudah dirancang berbanding perbuatan menzalimi diri sendiri atau dosa. Hal ini adalah kerana, perbuatan dosa kebanyakkannya adalah perbuatan yang tidak dirancang sama sekali! Maka, rancanglah kehidupan anda ke syurga Allah !


No comments:

Post a Comment