Tuesday 17 December 2013

Artikel ~ Dunia Emosi




Sebagai seorang remaja, topik emosi kadangkala disalah erti dan kadangkala juga disalah urus. Hal ini berlaku kerana, kita tidak ada ilmu atau tiada pendidikan khusus mengenai apa itu emosi dan bagaimana untuk menguruskan emosi di bangku sekolah universiti, malah di rumah. Akhirnya, kita hanya mengetahui dan memahami emosi itu pengalaman diri sendiri dan orang lain. Dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan remaja belia tentang emosi ialah seperti; “Eh,relaks la. Kena emo sangat?” Atau, “Engkau janganlah emo sangat. Kalau macam ni,elok engkau joint kumpulan emo!”. Dan bermacam-macam lagi dialog remaja tentang emosi. Dan kadangkala, orang dewasa mendengar kata-kata seperti ini, sukar untuk difahami. Namun yang demikian, adakah remaja hari ini faham akan maksud emosi? Apa itu emosi dan bagaimana emosi manusia bekerja? Adakah emosi ini sering dikaitkan dengan respon yang negatif? Atau bagaimana?

4 Kecerdasan Utama Manusia
Pertama sekali, remaja haru tahu dan sedar bahawa, manusia mempunyai empat kecerdasan utama iaitu; kecerdasan fizikal (Physical Quotient), kecerdasan intelektual (Intellectual Quotient), kecerdasan emosi (Emotional Quotient) dan kecerdasan spiritual (Spiritual Quotient). Atau ringkasnya,P-I-E-S Quotients. Keempat-empat kecerdasan ini sering berinteraksi di antara satu sama lain dan ia tidak boleh dipisah-pisahkan. Kehidupan manusia ini akan harmoni apabila terdapat keseimbangan di antara keempat-empat potensi ini. Namun, hakikatnya, manusia sering berlumba-lumba membangunkan salah satu di antara keempat-empat potensi ini sahaja. Sebagai contoh, remaja hari ini hanya menfokuskan kepada keupayaan atau kecerdasan intelektual semata-mata. Setiap hari ke sekolah, kemudian pulang dari sekolah, disambung pula dengan kelas tambahan, tuisyen dan sebagainya. Tetapi, fokus kepada pembangunan dan keseimbangan emosi, spiritual dan fizikal mula diambil ringan dan kadangkala diabaikan.

Keseimbangan Potensi Diri
Apa yang bakal terjadi jika kecerdasan emosi, spiritual dan fizikal tidak dibangunkan secara seimbang? Cuba kita lihat dan baca laporan berita di akhbar, majalah, blog dan sebagainya mengenai kes salah laku remaja kita di Malaysia. Ada laporan menyatakan pelajar pintar, lari dari rumah kerana mengikut pengkid; Remaja 15 tahun terlanjur 20 kali; Tidak mahu berpuasa,tetak kepala emak; Berkhalwat di dalam surau; Tiga remaja hasilkan video lucah dicekup dan sebagainya dan kadangkala sukar untuk masyarakat kita mempercayainya? Mengapa semua ini berlaku kepada golongan remaja? Adakah kurang didikan di rumah? Sekolah atau universiti? Bukankah remaja yang bersekolah atau mereka yang sudah pun melanjutkan pelajarannya ke universiti merupakan satu bukti bahawa, golongan remaja kita amat tinggi IQ-nya? Mampu menghafal, mengira, membaca?

Hal ini sudahpun kita fahami bahawa, apabila tidak ada titik keseimbangan pada potensi manusia, maka manusia sebenarnya mendekati kepada kemusnahan pada dirinya. Lihat lagi contoh pada orang yang tinggi IQ-nya iaitu Ted Kaczynski, seorang anak remaja hebat yang sudah memasuki Harvard pada umur 16 tahun dan tamat pengajiannya pada umur 20 tahun. Dalam usianya yang sangat muda remaja, beliau juga telah menamatkan pengajiannya di peringkat Master dan Kedoktoran (Ph.D), dalam bidang matematik di Universiti of Michigan. Akhirnya menjadi seorang pensyarah yang amat disegani dan dikagumi bakatnya di Universiti California di Berkeley. Tahukah anda, apa yang telah dilakukan oleh beliau? Beliau kini di dalam penjara kerana telah mencipta bom yang canggih serta kuat kuasa ledakannya. Ciptaannya itu telah membunuh 3 orang dan 22 orang tercedera! Mengapa beliau melakukan sedemikian? Bagaimana kisah hidupnya semasa di sekolah dan universiti?

Para kaunselor telah melakukan sesi bersamanya. Didapati, semasa beliau di alam remaja, Ted Kaczynski telah dibesarkan dengan asakan IQ sehingga kurang bersosial dengan orang di sekelilingnya. Sepanjang usia di sekolahnya, ia tidak pernah bergaul dengan sesiapa dan tidak pernah menyertai mana-mana aktiviti. Usianya semakin meningkat, maka, Ted Kaczynski sering berjalan cepat dan sering menjauhi sebarang aktiviti sosial. Malah, rakan-rakannya di Harvard menggelarkan Ted dengan gelaran yang tidak baik. Persoalannya disini, adakah kecerdasan intelek semata-mata akan membuatkan kita menjadi manusia yang seimbang dan harmoni?

Di dalam firman Allah swt menerusi surah Az Zumar, ayat 53 membawa maksud; Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Apakah pengajaran terbesar yang boleh kita pelajari dari ayat di atas? Di dalam tafsir Ibnu Kathir, ayat suci ini merupakan satu pesan suci Tuhan kepada hamba-hambanya yang kafir dan yang tenggelam dalam dunia kemaksiatan dan kefasikan agar mereka bertaubat dan kembali kepada Allah swt, berserah diri dan kemudian sesekali jangan berputus asa dengan rahmat Allah  dan kasih sayangNya. Inilah peringatan besar Allah swt kepada seluruh manusia atau hambaNya yang mula berasa dunia ini seolah-olah berkonspirasi untuk membinasakan kehidupan mereka!

Punca Kerosakan Diri
Mari kita tanyakan soalan emas kepada diri kita. “Adakah satu dosa atau kesalahan yang manusia lakukan, tidak ada kena mengena dengan kecerdasan emosi?” dan “Apakah situasi psikologi yang bakal dialami oleh mereka yang sering melakukan dosa atau kesalahan ini?

Jawapannya sudah jelas, dengan adanya situasi emosi yang tidak stabil dan sering bertukar-tukar polar emosi, maka kadangkala, manusia akan tersalah membuat atau mengambil tindakan. Biasanya, perbuatan dosa atau kesalahan, dilakukan oleh manusia adalah bergantung kepada situasi emosinya. Jika manusia yang berada di dalam situasi emosi yang baik atau positif, maka jarang sekali perbuatan atau aktiviti negatif akan dilakukan. Tetapi jika emosi manusia berada di dalam polar negatif, maka, disitulah mulanya, pemikiran, rasa dan tindakan yang negatif mula menguasai diri. Sebagai contoh mudah, berdasarkan laporan akhbar tentang remaja dan belia di Malaysia yang terlibat dengan kes salah laku moral dan jenayah. Apabila ditanya, “Mengapa anda melakukannya?” Jawapan biasa yang diberikan ialah berpolarkan keadaan emosi yang negatif. Jawapannya seperti;

i)                   Dia selalu membuatkan saya marah!”,
ii)                 Ibubapa saya tidak ambil peduli tentang saya, tetapi rakan-rakan saya tidak begitu!”,
iii)               Semua benda dia dapat dari mak ayah. Handphone, i-pad, duit dan macam-macam lagi! Saya pun nak hidup macam dia!”,
iv)               Saya berasa keseorangan. Semua rakan saya ada teman lelaki. Saya pun ingin seorang teman!” dan bermacam-macam lagi suara hati dan bentuk pemikiran yang mana berakhir dengan satu tindakan yang terancang tanpa adanya kekuatan spiritual yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, apabila polar emosi diri tidak mampu dikawal dan tidak mampu diuruskan dengan baik, maka, kebiasaannya selepas satu tindakan telah diambil berdasarkan situasi emosi yang negatif, maka rasa menyesal atau putus asa akan timbul di dalam hati dan fikiran. Keadaan psikologi inilah yang Allah swt sebutkan di dalam surah Az Zumar, ayat 53 tadi yang mana, apabila manusia mula merasakan diri mereka hina dan penuh dengan penyesalan, maka Allah swt menawarkan satu proses penyembuhan diri (self healing) yang baik iaitu kembali kepada Allah swt! Firman Allah swt di dalam Az Zumar ayat 54 yang bermaksud; "Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu Dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.

Pengajaran Besar Al-Quran Tentang Emosi
Menerusi ayat ini, kita sudah mampu memahami serba sedikit tentang apa itu makna berputus asa yang biasanya mendekati kepada penyesalan. Di saat manusia berada di kotak berputus asa, akibat kesilapan akan kesalahan yang pernah dilakukan pada waktu yang lepas, Allah s.w.t memberikan satu tawaran dan juga cadangan supaya kita tidak terlalu lama dan selamanya berada di dalam situasi tersebut. Jika manusia terus hidup dengan diselubungi emosi negatif, maka, kehidupan mereka sering di dalam kemurungan, kesedihan, pandangan hidup yang selalu pesimis dan tidak produktif. Malah, Allah s.w.t melarang kita untuk berasa putus asa dengan semua kesalahan yang pernah dilakukan akibat dari polar emosi yang bertenaga negatif.

Justeru, ayat ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu penyebab (cause) dan kesan (effects). Polar ini dapat kita lihat menerusi polar 1 dan polar 2 dengan ayat ini;

Polar
Ayat
Refleksi Psikologi


1

Cause

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani


·         Psikologi manusia yang menjurus kepada pemikiran dan perasaan yang negatif; berputus asa dan menyesal
·         Penyembuhan diri menuju inner peace mampu diraih dan diwujudkan oleh diri sendiri dengan adanya proses tertentu; dalam konteks ini, konsep taubat adalah langkah penyembuhan diri
·         Ada harapan dan tindakan spesifik untuk meraih kekuatan diri




2

Effects



"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu Dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.


·         Jika terus membiarkan diri ini dalam keadaan yang negatif, khuatir akan memakan diri
·         Self sabotage adalah keadaan diri yang terus membiarkan diri ‘sakit’
·         Diri terus menerus diselubungi dengan rasa gelisah, takut (fear), putus harapan, tidak produktif
·         Kesannya, berdasarkan perkataan ‘azab’ itu adalah kesan di dunia; situasi emosi dan fikiran semakin jauh dari ketenangan


Emosi Harus Dikawal dan Diurus
Justeru, hari ini, waktu ini, saat ini, remaja dan semua dari kita harus faham dan sedar, apakah peranan kecerdasan emosi terhadap produktiviti harian kita. Jika kita sering berada di dalam daerah emosi yang negatif, maka produktiviti kita akan menerima kesan yang sama. Namun, bayangkan, walau apapun faktor luaran yang memicu emosi, maka katakanlah kepada diri bahawa, emosi yang negatif adalah tidak baik untuk diri kita jika terus menerus membiarkannya tanpa kawalan dan pengurusan yang betul. Kita khuatir, tindakan seterusnya berdasarkan ‘emosi semasa’ kita akan melakukan satu perbuatan yang akan menyakiti diri sendiri atau orang lain.



Faedah Pengurusan Emosi
Apa yang bakal terjadi kepada diri kita, jika kita mampu mengurus dan mengawal emosi kita agar sentiasa berada di dalam daerah positif? Apa yang bakal terjadi kepada kita jika kita mampu mengawal dan memahami, apakah bentuk emosi yang sedang berlaku di dalam diri kita? Bukankah mudah untuk kita mengurusnya dan mengawalnya dengan baik? Bukankah situasi ini akan membuatkan kita berasa bahagia dan tidak mudah untuk melakukan perkara yang merugikan?

Daniel Goleman, menerusi bukunya Emotional Intelligence (1995), telah mendefinisikan kecerdasan emosi ialah merujuk kepada keupayaan diri untuk mengenal perasaan diri sendiri dan orang lain untuk memotivasikan diri serta mengurus emosi dengan baik dan juga memelihara perhubungan sesama manusia. Kecerdasan emosi yang dimiliki oleh semua manusia adalah satu anugerah yang harus kita kuasai. Tanpa kekuatan dan ilmu yang khusus mengenainya, kita khuatir, kita akan menjadi mangsa kepada potensi kita sendiri dan akhirnya menyebabkan perhubungan sosial kita dengan keluarga, rakan taulan, rakan sekerja, jiran, masyarakat dan dunia turut menjauhi kita!

Kenali dan kendalilah emosi kita dengan kecerdasan emosi kita juga. Emosi manusia mampu diuruskan dengan adanya ilmu pengurusan emosi yang baik. Kenalilah tiga bentuk produk emosi yang sering membuatkan manusia sakit dan rugi;

i)                   Marah (Anger)
ii)                 Bimbang
iii)               Kesedihan (Sadness)

Allah swt Melarang Kita Untuk Terus Beremosi Negatif
Tiga bentuk produk emosi negatef ini sering dominon menguasai diri kita. Dan Al-Quran ada menjelaskan kepada kita bahawa, kita harus mengurus tiga bentuk emosi ini agar tidak memberikan kesan terhadap psikologi, fisiologi  dan sosial. Renungilah firman Allah swt di dalam surah Al-Imraan ayat 139 yang bermaksud;

Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.

Menurut tafsir Ibnu Kathir lagi, ayat ini diturunkan Allah swt bersempena perang Uhud. Bayangkan polar emosi kaum Muslimin selepas perang. Suami yang tercinta, sahabat handai, adik beradik telah meninggal dunia akibat perang mempertahankan agama. Jika kita berada pada situasi ini, sudah tentu emosi kita juga bergelojak dengan perasaan marah, bimbang dan kesedihan melampau! Namun yang demikian, Allah swt memerintahkan kepada kaum Muslimin yang masih lagi hidup agar tidak terlalu lama bergelumang dengan bentuk emosi yang negatif kerana ia boleh mematahkan semangat untuk terus hidup dan kadangkala boleh membawa kita ke daerah putus asa!

Disinilah satu bentuk inspirasi dan motivasi yang tertinggi dari Al-Quran untuk kita fahami bahawa, potensi emosi yang ada di dalam diri kita ini mampu memberikan kita kekuatan untuk terus berjuang menempuhi kehidupan ini yang penuh dengan cabaran. Dan dalam masa yang sama, kita juga boleh menjadi selemah-lemah manusia jika emosi ini tidak diurus dan dikawal.
Pastikanlah, apakah bentuk emosi semasa kita pada waktu ini? Kenali dan sentiasalah mencetuskan polar emosi positif agar anda mampu berasa kuat dan bahagia,. Jika kini, anda berada di polar yang sebaliknya, maka rawatlah dan carilah penawar supaya anda kembali tenang, sihat dan harmoni.

Thursday 14 November 2013

Aku Menyesal!

Setiap hari, manusia pasti membuat pilihan dalam kehidupannya. Tidak kiralah samada pilihan itu besar atau kecil, jangka masa panjang atau pendek, manusia, harus memilihnya. Pilihan ini pula bergantung kepada polar pilihan itu sendiri samada baik di awal dan buruk dihujungnya atau disebaliknya. Kesimpulannya, bukankah kita ini sentiasa membuat pilihan dalam kehidupan? Persoalannya pula, adakah kita sedar dan mampu mengambil tanggungjawab atau 'responsibility' di atas setiap pilihan yang kita pilih itu? Inilah yang selalu menjadi dilema kepada kita sebagai insan di dunia ini.

Jika kita bercerita tentang pilihan, ramai dikalangan kita menganggap dan meletakkan jangkaan @ expectation yang jauh dari realiti. Apabila kita telah memilihnya, kemudian kita tidak memiliki atau menguasai apa yang kita jangkakan itu, maka kita mula menjadikan diri sendiri sebagai 'mangsa keadaan' atau kita mula berfikir,'ada orang atau benda lain yang harus dan patut aku salahkan' berbanding diri sendiri! Biasakan ini terjadi kepada kita? Apabila kita mula nampak atau mula rasa apa yang pernah kita pilih dahulu mula tersasar dari jangkaan, maka kita mula menjadi orang neurotik.

Kisah Si Pemilih Jalan

Bayangkan, pada satu hari, anda harus memilih salah satu jalan yang penting dalam kehidupan. Setelah memilih jalan A dan meninggalkan jalan B @ C, maka anda pun berasa gembira dan sangatlah gembira kerana berjaya memilih jalan tersebut setelah menempuhi pelbagai bentuk cabaran untuk memilih jalan itu. Kemudian, pelbagai bentuk jangkaan @ expectation positif terhadap perancangan itu telah dibayangkan, ditulis dan dikongsikan. Seterusnya, sepanjang perjalanan menerusi jalan A itu, anda mula berasa 'something @ some where wrong'. Bayangan jalan A yang dilalui semakin menjadi ilusi dengan wujudnya kegelapan, bentuk jalannya semakin rosak dan teruk, jalan terasa sempit dan pelbagai lagi ilusi itu diwujudkan sedangkan jalan A itu secara realiti dan hakikatnya baik-baik sahaja! Akhirnya, anda berhenti melangkah, duduk di pertengahan jalan A itu dan hanya fokus kepada kesusahan yang dirasakan. Malah, turut mewujudkan pula expectation negatif pada diri, orang disekitar dan persekitaran.

Biasa dengar situasi seperti ini? @ ia ada kaitan dengan kita hari ini? Atau sebagai contoh

i) Sebagai PELAJAR ~ Menyesal aku belajar kat kolej ini. Kalau aku tahu kolej ini teruk pengurusannya, aku daftar kat kolej lain!

ii) Sebagai PEKERJA ~ Menyesal aku kerja kat syarikat ini. Kalau aku tahu company ini tak bayar gaji tambahan untuk kerja lebih masa, aku tak kerja kat sini dulu!

iii) Sebagai PELANGGAN ~ Menyesal aku datang resort ini. Kalu aku tahu takda swimming pool, takdenya aku nak datang sini!

iv) Sebagai PESAKIT  ~ Menyesal aku datang hospital ini. Kalau aku tahu lambat, aku tak datang hospital
ini!

v) Sebagai ISTERI/ SUAMI ~ Menyesal aku kahwin dengan engkau. Kalau aku tahu jadi macam ini, aku tak kahwin dengan engkau!

dan macam-macam lagi bahasa penyesalan.

Persoalannya, mengapa datangnya penyesalan selepas membuat pilihan? Jika situasi di atas, adakah kolej itu benar-benar membuatkan kita rasa menyesal? Kerja, resort, hospital atau suami atau isteri membuatkan kita menyesal? Adakah semua faktor itu membuatkan kita berasa kesal, kecewa, sedih atau kita mempunyai kekuatan dan kapasiti untuk tidak berasa apa yang dialami itu?

Kita ada ke kekuatan seperti itu?

Ada! Ia ada pada sudut pandang kita!


Signal Perubahan

Situasi seumpama ini sentiasa berlaku kepada kita sebagai manusia. Persoalannya, bagaimana untuk mengurus situasi agar kita menjadi lebih efektif. Satu hal yang penting untuk kita sedari dan fahami ialah, apabila kita berada di dalam situasi ini, kita tubuh badan yang penuh dengan fungsi bio-chemical functioning ini sedang memberikan responnya. Respon yang bagaimana? Respon yang memerlukan kita melakukan perubahan! CHANGE! Perubahan pada diri sendiri dan bukannya pada orang lain atau persekitaran kita.

Namun yang demikian, manusia sering berhadapan dengan persepsi masing-masing yang kadangkala kompleks dan unik. Ada manusia yang melihat gelas berisi setengah air mengatakan, gelas ini setengah kosong dan ada juga manusia mengatakan, gelas ini berisi setengah air! Pelik bukan? Gelas yang sama, tetapi persepsi yang berbeza! Persoalannya lagi, mengapa ada perbezaan? Ini adalah kerana respon pengalaman hidup yang berbeza.

Signal kepada perlunya perubahan adalah bermula dari diri kita sendiri. Ia bukanlah bermula dari orang lain atau persekitaran luar.

Otak Manusia

Manusia dianugerahkan otak yang amat berbeza fungsinya dengan makhluk yang lain di dunia ini. Antara fungsi otak manusia yang unik ialah pada fungsi otak limbik @ lymbic system. Fungsi otak ini berperanan dengan cara FIGHT, FLIGHT @ FREEZE. Malah otak ini lebih selesa mencari keselesaan atau ketenangan (pleasure) berbanding penderitaan dan kesengsaraan (pain). Namun, kadangkala, manusia lebih selesa hidup dengan kesengsaraan atau penderitaan dengan kadar yang lebih lama dan panjang dengan cara mengambil sudut pandang atau persepsi diri yang negatif!

Perubahan Sekarang!

Cerita tentang perubahan memang senang untuk ditulis berbanding dipraktikkan dalam kehidupan. Namun ia bukanlah sukar atau mustahil untuk dihidupkan. Cuma, ada beberapa undang-undang atau laws tertentu yang harus kita ambil sebagai langkah pertama kepada perubahan yang seterusnya.

Jika kita sudah faham dan sedar bahawa kita seperti berada di penghujung jalan A tadi, kemudian kita terduduk dan mula menyalahkan orang lain dan bukan diri sendiri, maka anjakan dalam berfikir perlu dilakukan terlebih dahulu. Undang-undang pertama yang harus kita mainkan ialah;

PERTAMA; wujudkan kesedaran diri yang berbeza ~ Einstain ada menyatakan; kita tidak mampu menyelesaikan masalah jika kita berada pada tahap yang sama sahaja ~ ertinya, kebanyakkan dari kita yang mempunyai minda yang sama paras berfikirnya sering tidak mahu sedar bahawa, dirinya juga adalah faktor pemicu kepada masalah yang timbul. Dirinya akan menyatakan benar dan orang lain adalah salah dan penyebab dirinya negatif. Kita harus bina kesedaran dengan berhenti berkata (stop saying) engkaulah puncanya! atau engkaulah yang membuatkan hidup aku berserabut! ~ STOP DOING THAT!~ Belajar berkata, aku adalah punca segalanya...Adakah benar situasi ini jika realitinya bukan kita penyebabnya? Alasannya ialah, kita harus berkata sedemikian kepada diri sendiri agar kita mampu belajar dengan upaya memberikan respon positif @ responsibility. Bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada diri, emosi, spiritual  atau apa sahaja yang berlaku adalah bermula pada diri sendiri dan bukan orang lain. Kesimpulannya, 'blame' harus kita tinggalkan tabiat ini selamanya! Ambillah keupayaan yang tinggi dengan bertanggungjawab sepenuhnya akan apa yang berlaku pada diri kita dan bukannya orang lain. Orang lain atau benda lain hanyalah faktor penyumbang dan bukannya alasan kepada apa yang berlaku. Sebagai contoh, 'kemuncuk' selalu melekat pada bahagian kaki seluar kita. Adakah kemuncuk itu harus kita salahkan kerana melekat pada seluar kita? Sudah tentu tidak. Kitalah yang melalui jalan yang penuh kemuncuk itu!

KEDUA; Wujudkan kesatuan dengan Allah swt ~ Apa maksud menyatu dengan Allah swt? Jangan pula kita bayangkan menyatu ini adalah menyatu dari sudut fizikal tetapi menyatu dengan Tuhan adalah hidup bersamaNya dengan menghidupkan semula ibadah yang sahih dan betul. Masalah yang timbul di muka bumi ini adalah kerana kita mula berpisah dari Tuhan. Mula menjauhi dari Tuhan secara perlahan-lahan dan senyap. Zikir, Al-Quran dan mungkin ibadah wajib, perlahan demi perlahan kita mula abaikan, ringankan dan akhirnya mula terasa berat dan malas untuk melakukannya. Akhirnya kita mula berpisah hidup dengan Tuhan secara total

Friday 18 October 2013

Jangan Salah Faham!

Pernah sahabat nabi Muhammad saw bertanya kepada baginda;

"Apa erti atau makna sebenarnya agama itu?"

Jawab nabi; " Agama itu adalah nasihat "

Maka, ditanya lagi oleh sahabat; "Nasihat siapa?"

"Nasihat Allah dan kitabNya, dan Rasulnya dan pemimpin-pemimpin orang Islam dan segalanya orang Muslim yang kebanyakkan (iaitu segala orang yang telah tunduk mengikut dan menjunjung nasihat itu) ~ (Riwayat Ahmad no. 16982, Muslim no. 55 dan Abu Daud no. 4944)

Nasihat? Ya! Memang benar sekali!

Ramai di antara kita yang tidak memahami perspektif agama di dalam hidupnya dan adakalanya di antara kita menganggap bahawa, agama adalah satu bentuk paksaan yang melelahkan kehidupannya kerana merasakan seolah-olah agama telah membataskan dirinya untuk melakukan apa-apa sahaja! Wow! Jangan mudah untuk kita berasa sedemikian kerana ada beberapa perkara yang harus kita lihat dan fahami, untuk apa agama itu disebarkan.

Baru-baru ini, saya ada meneliti beberapa tulisan besar Za'ba yang hebat. Antara bukunya yang sempat saya miliki ialah Mencapai Keluhuran Budi, terbitan DBP. Beliau ada mengajak kita untuk melihat sisih lain dalam menjelaskan, apakah kepentingan dan tujuan agama itu diturunkan oleh Tuhan kepada manusia. Dalam konteks ini, agama yang dimaksudkan ialah Islam.

Namun yang demikian, konsep umum agama di seluruh dunia ini menganjurkan kepada manusia empat perkara iaitu;

i) Menyuruh percaya dan berbuat kebaikan
ii) Melarang agar tidak melakukan perkara kejahatan
iii) Menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang percaya
iv) Menjanjikan balasan yang buruk kepada mereka yang ingkar

Jika kita merenung kembali amalan beragama selama ini, memang benar. Sedar tidak sedar, jika kita benar-benar mempraktikkan amalan beragama sepanjang kehidupan ini, maka kita sebenarnya sedang dilatih oleh Tuhan agar berkelakuan baik dan betul dengan mengikuti akan segala perkara yang dianjurkan di dalam agama itu sendiri. Justeru, kita juga sebenarnya sedang dilatih supaya lebih disiplin dengan cara meninggalkan segala yang dilarang oleh agama agar kita tidak menerima musibah atau kecelakaan sepanjang kehidupan ini. Inilah sisi lain dalam amalan beragama iaitu kita sedang melatih diri atau dilatih oleh Tuhan! Bukankah hal ini sangat hebat?

Perangai manusia, kelakuan manusia amat menakutkan jika mereka tidak mengambil agama sebagai salah satu bentuk nasihat. Mengapa begitu? Ini adalah kerana, manusia ini penuh dengan kelalaian, lupa, ego, zalim, malas dan pelbagai lagi bentuk atau karakter yang negatif. Namun, agama berperanan untuk memastikan manusia bangkit dan berhijrah ke arah atau ke dalam zon aktif.

Lagi, kepentingan agama sebagai nasihat kepada manusia adalah supaya manusia ini sedar dan tahu, malah proaktif menjadikan dirinya sendiri, termasuklah keluarganya, komunitinya, negaranya agar mempunyai satu sistem kepercayaan yang tinggi iaitu mengakui dan meyakini bahawa, terdapat satu sistem atau satu pengajaran yang besar dan hebat, sedang mengatur dirinya dan alam semesta ini menerusi kepercayaan bahawa terdapat Tuhan atau kuasa ghaib yang tinggi, amat berkait rapat dengan kehidupan rohaninya atau spiritualnya. Hal ini adalah kerana, manusia hidup bukanlah hanya semata-mata memenuhi keperluan fizikalnya, intelektual atau emosinya sahaja, tetapi spiritualnya juga.

Tanamkanlah di dalam fikiran bahawa, agama Islam itu adalah satu bentuk nasihat yang penting. Mengapa ia begitu penting sekali untuk kita duduk dengar dan mempraktikkan agama ini? Ia tidak lain tidak bukan hanyalah mengajak manusia agar meraih kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Agama sebenarnya berperanan untuk membentuk, mendidik, membesarkan serta mendewasakan manusia sesuai dengan kehidupan-kehidupan lain di dunia ini bagi menjamin akan ketenangan serta kesejahteraan mereka.

Mari kita renungkan;

Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur. (Al Insan, ayat 3)


Thursday 10 October 2013

Siapa Menguasai Siapa?


Kita pasti sudah biasa mendengar kata-kata, 'siapa yang kuat dia akan menang!' Ya! Kadangkala ada benarnya dan kadangkala tidak juga. Dalam konteks ini, mari kita lihat, siapakah kita? Sudahkah kita mempunyai kekuatan yang tertentu? Sudahkah kita benar-benar menguasai kekuatan diri kita atau kita masih tercari-cari dimanakah, apakah kekuatan diri kita sendiri. Namun yang demikian, mari kita fahami satu perkara tentang kekuatan diri kita sebagai manusia.

Manusia di anugerakan potensi diri yang sangat unik dan luar biasa. Potensi itu ada pada fizikal (Physical), intelektual (Intellectual), emosi (Emotional) dan spiritual (Spiritual) @ singkatan holistiknya PIES. Namun yang demikian, kita kadangkala menfokuskan kepada salah satu atau 2 atau mana-mana potensi diri yang kita mula rasakan, inilah potensi yang memberikan aku 'outcome' yang drastik atau segera. Manusia yang hidup tanpa ada keseimbangan potensi akan mengarahkan kehidupannya kepada kebinasaan. Persoalannya, bagaimana hal ini boleh berlaku? Adakah dengan fokuskan kepada pengembangan intelektual semata-mata akan membuatkan kehidupan ini hancur?

Lihat saja pada laporan berita, sejarah dan apa sahaja kisah2 benar yang berlaku kepada manusia yang tidak seimbang ini. Maksudnya, mereka yang hidup dengan hanya menfokuskan 1 potensi, manusia akan jatuh kerana dirinya diciptakan memerlukan kepada keseimbangan. Telah ramai manusia yang menafikan potensi lain seperti spiritual sebagai contoh, telah membuatkan mereka hidup dalam 'kekosongan' walaupun mereka ini mempunyai harta benda yang banyak dan mewah. Kehidupan mereka juga menjadi suram dan sunyi walaupun mereka ini bergelar sebagai 'genius' dalam bidang mereka.

Buku Victor Frankl dengan tajuknya 'Man's Search For Meaning' telah membuktikan bahawa, malah manusia yang hidup di dalam penjara dan peperangan juga, mula berfikir tentang, apakah tujuan kehidupan ini? Adakah untuk menjajah negara? Menawan dan menyeksa orang-orang yang tidak berdaya? Meraih keuntungan peribadi dengan penindasan? Hidup dalam kuasa politik? atau apa? Apatah lagi manusia yang bebas, merdeka, bebas dari penindasan, maka lebih-lebih lagi seharusnya memikirkan, apakah tujuan kehidupan yang sebenarnya?

KEHIDUPAN ADALAH UNTUK MENGUASAI

Kuasai apa? Ya, inilah yang dicari oleh manusia di dunia. mencari makna akan kekuasaan yang sebenarnya. Jika kita imbas kembali di saat kita lahir, kemudian memasuki alam kanak-kanak. Perasaan untuk memiliki atau menguasai sesuatu menjadi nyata apabila kita sudahpun ada perasaan untuk memiliki permainan, barang-barang yang cantik, berkilat dan menarik perhatian. Kemudian, kita semakin dewasa, perasaan untuk memiliki dan menguasai juga bertambah dan ia mula fokus kepada kewangan, pasangan, harta benda, kenderaan dan sebagainya. Semua ini adalah satu proses menguasai dunia luaran atau eksternal.

Namun yang demikian, dalam kita meniti kehidupan ini, kita mula terlupa dan leka dengan satu perkara yang harus kita kuasai iaitu kuasai diri sendiri ~ Self Control

Mengapa perlunya SC ini?

Tidakkah kita memerlukannya?

Yes, kita sebagai manusia yang mempunyai kecerdasan yang tertinggi atau higher self yang unik dan hebat, perlukan kepada SC ini supaya kita mampu menjadi manusia yang bernama 'manusia'. Jika SC ini tiada didalam diri kita, maka kita akan bertindak seperti haiwan malah lebih dahsyat dan teruk dari haiwan!

Lagi, jika SC juga tiada di dalam diri kita, maka kita akan menjadi mantra 'I want more!' 'more' 'more' sebagai tujuan kehidupan! Mantra ini adalah penyubur kepada EGO manusia dan disaat diri manusia dikuasai oleh EGO-nya, maka kita sedang menjalani satu jalan kehidupan yang salah!

SELF CONTROL

Belajarlah dari mana2 sumber agar kita mampu mengawal diri sendiri daripada terus menerus dikawal oleh orang atau sistem! Kadangkala, kita tidak perasan atau sedar bahawa, selama ini, SELF CONTROL telah hilang dari sifat kita dan akhirnya kita menjadi pesimis, murung, tidak aktif, tidak bermotivasi untuk hidup kerana kita kehilangan SELF CONTROL!

Thursday 22 August 2013

Yes! Kita ada peta!

Bayangkan kita berada di dalam hutan dan mula hilang arah. Semakin mara ke hadapan, semakin tebal hutan dan semakin keliru perjalanan kita. Di dalam beg kita hanya ada peta! Malangnya, kita tidak tahu membaca peta itu! Tetapi, walaupun tidak tahu membacanya, namun kita tetap berasa masih ada harapan untuk keluar dari kesesatan ini bukan?

Situasi ini sebenarnya ibarat seperti kehidupan kita dengan Al-Quran. Di saat kita menjalani kehidupan ini, kita sebenarnya sentiasa dalam kekeliruan dan 'kesesatan'. Walaupun kehidupan kita ini sudah dipenuhi dengan 'bekalan yang penuh di dalam beg galas', apabila kehidupan ini masih terasa kosong, maka kita sebenarnya masih lagi belum tahu atau belum benar-benar mahir menggunakan 'peta' kehidupan.

Bayangkan semula situasi kita di dalam hutan tadi. Jika kita tidak tahu membaca peta, maka kita mungkin akan bergantung kepada 2 perkara; iaitu naluri atau rakan yang bersama dengan kita. Naluri ini sering menjadi teman kepada diri kita sendiri dalam menentukan arah kehidupan. Naluri akan sentiasa berkata; Ya! ikut jalan sini dan sana! Namun, apabila naluri itu diikuti sepenuhnya, realitinya, semakin jauh ke dalam hutan kita dibuatnya! Kedua pula, teman yang bersama dengan kita. Kita tahu, teman yang bersama itu juga tidak tahu bagaimana untuk membaca peta malah, teman itu juga tidak tahu akan adanya peta! Maka, teman ini akan sentiasa mengajak, mencadangkan, mendesak dan memberikan pandangannya yang sangat 'persuasive'. Akhirnya, kadangkala, peta yang ada di tangan kita itu, akhirnya diketepikan dan kita mudah mengikut pandangan dan nalurinya pula!

Al-Quran Adalah Peta

Kehidupan manusia dengan Al-Quran adalah ibarat aur dengan tebing. Saling melengkapi dan saling memerlukan. Apa maksud memerlukan? Manusia memerlukan panduan dan Al-Quran pula perlu dibaca oleh manusia! Kelebihan orang yang sudah pun mempunyai peta ini seharusnya menjadikan ia sebagai alasan atau dalil mengapa dia memilih jalan ini sebagai tujuan kehidupannya. Kehidupan dengan Al-Quran juga sudah menjadi salah satu bentuk keimanan yang penting dalam kehidupan sebagai seorang Muslim yang sejati. Tanpa Al-Quran, maka kehidupan ini sebenarnya tersasar dan kosong!

Justeru, kehidupan ini juga masih penuh dengan manusia yang tidak berdamping dengan Al-Quran, malah ramai juga yang tidak tahu akan kewujudannya. Bagaimanakah bentuk kehidupan mereka tanpa Al-Quran ini? Maka, mereka akan bergantung sepenuhnya kepada logik akal dan naluri semata-mata tanpa membenarkan petunjuk yang sebenar! Itulah kehidupan manusia tanpa Al-Quran!

Hati-hatilah dalam mengharungi kehidupan ini bersama teman-teman atau orang yang hidup bersama dengan kita ini terutamanya manusia yang tidak tahu wujudnya Al-Quran. Kadangkala, apa yang dicadangkan, dikongsikan, ditunjukkan atau didoktrinkan oleh golongan ini memang indah dan menarik perhatian. Itulah kelebihan akal yang Tuhan berikan kepada manusia. Tanpa akal, pasti manusia juga sama seperti makhluk yang lain. Namun, kesempurnaan akal ini akan lebih sempurna jika disatukan, diadunkan, disulam atau disinergikan dengan wahyu.

Kehidupan sebagai seorang Muslim harus meletakkan rukun Iman, Islam dan ihsan sebagai panduan. Suburkanlah segala bentuk falsafah hidup, idea tentang kehidupan, ideologi, prinsip atau ilmu dunia dengan menggabungkanya bersama wahyu. 
 



Al-Baqarah, ayat 2: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang Yang (hendak) bertaqwa;