Sejak kebelakangan ini, isu dan kes yang negatif, melibatkan anak-anak dengan ibu bapa kian meningkat. Cerita dan berita ini tersebar luas dengan terpaparnya di akhbar, internet dan sebagainya. Seolah-olah menerangkan kepada kita bahawa, hubungan di antara anak dan ibubapa semakin jauh dan rapuh. Institusi kekeluargaan semakin goyah dan menampakkan kelemahannya. Kasihan para ibubapa yang menerima layanan dan pukulan emosi serta fizikal. Ibubapanya sudah bertungkus lumus melahirkan dan membesarkan, akhirnya, mereka menjadi satu objek kebencian bagi anak-anak.
Timbul juga soalan, mengapa anak-anak melakukan perkara sedemikian?
Ada jawapan yang pernah saya dengar sendiri dari mulut anak-anak muda yang telah melakukan kezaliman pada ibubapanya. Dengan penuh rasa benci dan ego, ada yang mengatakan;
ii) Mereka dah tak ambil kisah sangat
iii) Mak dan abah mula beri kasih sayang pada adik. Saya ditinggalkan dan disisihkan. Kalau beli baju baru, mesti adik yang dapat dulu.
iv) Mak kerja. Ayah pun sama. Semua tidak ada di rumah. Kalau ada pun, mesti marah-marah
v) Ayah aku dulu selalu seksa aku. Hari ini, aku pula nak dia rasa!
Dan macam-macam lagi suara yang datang dari 'ego' seorang anak. Kadangkala, tidak sanggup juga untuk mendengarnya!
Kita biasa dengar peribahasa, kata-kata hikmah, puisi dan sebagainya tentang ibubapa.Mengapa semua hal berkaitan dengan ibubapa ini ditulis dengan tulus oleh manusia? Ini adalah kerana, ia merupakan salah satu naluri terpenting dalam kehidupan sebagai manusia. Naluri inilah yang ditiupkan oleh Maha Kuasa kepada sekalian manusia dan ia tidak mampu dinafikan, dibuang atau diketepikan.
Naluri ini juga amat besar kesannya terhadap perhubungan manusia dengan Tuhan. Jika manusia berlaku adil, jujur, baik serta mesra dengan ibubapanya, maka secara tidak langsung, hubungan manusia dengan Tuhan akan berlaku seperti mana wujudnya iklim hubungan dengan ibubapanya.Adalah mustahil jika hubungan seorang anak dengan Tuhannya baik jika seorang anak itu mempunyai masalah yang kompleks dengan ibubapanya!
Keredhaan Allah terletak
pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada
kemurkaan ibubapa (Hadith Tarmizi)
Mengapa redha Tuhan ada pada redha kedua ibubapa?
Why?
Pasti ada rahsia di sebalik hal ini. Maka, pengajaran yang besar harus kita ambil pada hari ini ialah, pastikan hubungan kita dengan ibubapa menjadi salah satu alasan utama untuk kita meraih kejayaan dan redhanya Tuhan kepada kita.
Renungilah surah An Nisa, ayat 36 yang bermaksud
Dan
hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan
Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada
kedua ibubapa
Allah swt menggunakan perkataan 'Ihsanan' dalam konteks perhubungan ibubapa. Ini bermakna, berlaku ihsan dengan layanan yang penuh tulus dan sempurna akan menguatkan lagi perhubungan kita dengan Tuhan.
Tidakkah seruan memberi layanan kepada kedua ibubapa kita merupakan satu perintah dari Allah swt kepada kita? Mengapa kita abaikan perintah ini?
Pendek kata, mari kita fahami dan selami ayat ini buat tatapan dan tindakan kita seterusnya untuk berlaku ihsan pada ibubapa. Kini, kita memberi layanan pada kedua ibubapa bukan hanya sekadar memenuhi naluri kita tetapi yang lebih tinggi lagi adalah kerana kita patuh dan akur pada perintah Allah swt.
Ajarilah anak-anak kita agar mereka memahami Al-Quran. Jika anak-anak memahami dan mampu merasa akan tanggungjawab mereka untuk melaksanakan apa yang telah di perintahkan kepada mereka menerusi Al-Quran, maka para ibubapa, tidak perlulah bimbang atau khuatir dimasa tua.Ini kerana, jika anak-anak faham Al-Quran, mereka akan menjaga dan memelihara kedua ibubapa mereka di waktu senja.
Tetapi, bimbang dan khuatirlah dengan anak-anak yang mengabaikan perintah ini, Begitu juga dengan kita jika kita masih ada tanggungjawab dan peranan yang besar untuk berlaku ihsan pada kedua ibubapa kita di kampung atau dimana sahaja mereka berada.
Ingatlah, Rasulullah saw pernah menga'amin'kan 3 situasi manusia yang malang/ celaka iaitu
i) Datangnya ramadhan, bulan itu pergi tanpa memberi manfaat kepadanya
ii) Saat ketika nama nabi Muhammad saw disebut, manusia tidak berselawat kepadanya
iii) Kedua ibubapanya tidak menjadi alasan untuk mereka ke syurga ALlah. Mereka mengabaikan tanggungjawab mereka semasa kedua ibubapa mereka masih hidup di muka bumi ini!
Berlaku ihsanlah kepada ibubapamu selagi mana mereka tidak mempersekutukan Allah swt! Serta bersikap sabarlah dengan perangai dan kelakuan ibubapa kepada anda. Ini adalah kerana sifat sabar akan mematangkan kita untuk tidak melakukan perkara yang sama pada mereka (ibubapa) walaupun kita pada waktu ini mempunyai kuasa/ kekuatan utnuk membalasnya. Elakkan dari mendengar kata-kata ego dan dendam. Ia akan memakan diri di dunia dan di akhirat kelak!
Wallahualam
Syamil Yusuff
Julai 2012
No comments:
Post a Comment