Subhanallah, Ramadhan hampir tiba. Ia boleh dikira dengan menunggu beberapa jam sahaja lagi untuk semua umat Islam di dunia ini menunaikan salah satu rukun Islam. Semua umat sering diingatkan kembali menerusi radio, televisyen, internet dan sebagainya tentang kehadiran bulan yang mulia ini. Inilah yang dinamakan usaha untuk memperingatkan pada mereka yang lupa atau tidak sedar.
Dalam kita menganuti dan menjalani kehidupan sebagai seorang muslim, kita pasti berada di dalam salah satu golongan ini iaitu
i) Religion Experience (Pengalaman beragama) atau
ii) Religion Consciousness (Kesedaran beragama)
Dua dimensi sangat berbeza dalam pembentukan karakter dan juga keyakinan seseorang. Jika kita masih berada pada golongan yang pertama, kita pasti merasakan ia adalah seperti satu rutin tahunan, bulanan, mingguan dan harian semata-mata. Namun, turut merasakan satu ketidakpuasan atau ketidakbahagiaan dalam melaksanakan tuntutan beragama. Bagaimana pula jika kita mempunyai kesedaran tertinggi dalam amalan beragama? Sudah pasti ia amat berbeza!
Jika kita mampu meraih kesedaran tertinggi dalam urusan agama, maka perspektif kita, kelakuan, tindakan, fikiran, perasaan dan semua potensi diri, pasti turut mengikuti dan patuh atas kesedaran yang wujud. Sehubungan dengan bulan Ramadhan ini, kesedaran beragama harus kita tingkatkan bagi meraih apa yang dinamakan taqwa. Allah swt berfirman di dalam surah Al-Baqarah, 183 yang bermaksud;
Hai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasasebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.
Renungilah ayat pendek ini. Seruan berpuasa adalah kepada golongan yang beriman! Dan orang yang beriman adalah golongan manusia yang sedar dan bukan hanya sekadar menjalani rutin dalam beragama. Kesannya, orang yang mempunyai kesedaran akan berasa gembira atas ajakan Allah swt kepada mereka. Ini adalah kerana hati mereka sentiasa lunak dengan kesedaran tetinggi kepada Allah swt. Malangnya, orang yang tidak beriman, ajakan ini sebenarnya menjadi ancaman dan kepayahan bagi mental mereka! Amat berat untuk mereka laksanakan dan sering memberi 1001 alasan untuk tidak menyahut ajakan istimewa ini.
Lagi, tahap seterusnya untuk mereka yang beriman, berpuasa, mereka akan dihadiahkan dengan taqwa. Allah swt mengatakan agar kamu bertaqwa. Perkataan 'agar' itu merujuk kepada proses untuk mencapainya. Maka, lakukanlah proses 'berpuasa' dengan memenuhi tuntutan dan spesifikasi yang benar dan tulus untuk mencapai pakaian emas 'taqwa'. Hadiah dari Allah kepada orang yang sedar!
Bulan Ramadhan juga adalah bulan untuk melatih dan menyembuhkan potensi fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Kekuatan yang diperlukan oleh orang yang ingin menyahut ajakan berpuasa ini ialah mengawal diri @ self control. Jika 11 bulan kita sering mengawal orang lain atau orang disekitar kita, maka 1 bulan khas ini, Allah mengajar kita agar kita mengawal pula diri kita! Ada kata-kata dari pemikir mengatakan
Kita akan dilihat sebagai manusia yang bodoh jika kita sering mengawal orang lain sedangkan seseorang itu dilihat bijaksana dan hebat jika dia sering mengawal dirinya sendiri!
Bukankah kita ingin menjadi sebahagian dari orang yang bijak?
Tingkatkanlah kesedaran kita dalam menempuhi bulan Ramadhan yang bakal kita masuki daerahnya. Ia amat menuntut kepada kekuatan kita dalam mengawal diri sendiri berbanding mengawal orang lain. Raihlah kekuatan diri dengan senantiasa berhubung (conncected) dengan Tuhan. Hubungan yang kuat dengan tuhan akan membuatkan kita lebih perkasa dan hebat berbanding rapuhnya hubungan kita disaat kita berpuasa.
Lakukanlah zikirullah yang berpanjangan. Kaji dan fahamilah Al-Quran dalam bulan ini berbanding tiada kesempatan untuk mendalaminya pada bulan yang lain. Ramadhan yang hadir adalah untuk mereka yang benar-benar sedar akan kehadirannya!
Syamil Yusuff 2012
No comments:
Post a Comment