Tuesday, 24 July 2012

Wahai Manusia! Tolonglah Aku!

Satu ilmu baru yang telah saya pelajari dari seorang usahawan muda dari Indonesia ialah jatuh susah! Bak kata pepatah Melayu, sudahlah jatuh, kemudian ditimpa pula tangga! Memang menyakitkan fizikal dan emosi! Pernahkah anda berasa sedemikian? Saat anda dikecewakan? Saat anda ditinggalkan? Saat anda ditipu? Saat anda dilupakan dan sebagainya suasana negatif. Namun, saat anda jatuh dan ditimpa tangga, siapa yang sering kita ingat dan sebut dahulu untuk bangkit semula?

Subhanallah, cuma orang-orang yang beriman dan dekat dengan Tuhan sahaja bibir hatinya berkata-kata; Ya Allah, tolonglah aku! Aku dalam keadaan susah sekarang ini Ya Allah!

Namun, apa yang terjadi pada orang yang lemah atau kecil imannya? Pasti lintasan di hati dan fikirannya ialah mencari manusia untuk membantunya.

Namun yang demikian, ikhtiar dengan cara meminta pertolongan dari manusia bukanlah satu pekerjaan atau usaha yang tidak dibenarkan atau jatuh kepada perkara yang berdosa untuk melakukannya. Malah, ia adalah satu usaha yang bersifat manusiawi. Saling meminta bantuan dan pertolongan. Sehubungan dengan itu, perkara utama disini, siapakah yang sering kita jadikan rujukan utama dalam kehidupan ini disaat kesusahan mahupun senang? Itulah perkara utama dalam agenda besar kehidupan yang harus kita perhalusi.

Prinsip yang dipegang oleh usahawan muda dari Indonesia tadi ada berkongsi tentang kesusahan, musibah dan masalah dengan berkata;

Masalah dan kesulitan datang dari manusia. Bagaimana mungkin kita meminta penyelesaian dari sumber atau punca masalah untuk menyelesaikan masalah ini? Bukankah masalah lain yang bakal timbul lagi?

Teringat pula saya kepada kata-kata Einstain. Tokoh ini berkata

Jika kita kita mempunyai masalah, maka masalah tidak akan selesai jika kita berada pada tahap (level) yang sama

Bukankah masalah di dunia ini merupakan satu tahap yang rendah. Maka, disaat kita berada ditahap ini, letakkanlah diri anda pada tahap yang tertinggi. Nescaya, segala masalah akan dapat diselesaikan dengan pantas! Tahap tertinggi ini adalah merujuk kepada dimensi spiritual. Jika masalah hadir dalam kehidupan, maka tumpuan fokus kita hanya akan berada pada titik masalah. Maka, keluarkanlah fokus itu kepada ketinggian serta fokus yang intens kepada yang Maha Menyelesaikan masalah dunia kita!

Katakanlah kepada Allah dengan bahasa rayuan dan meminta. Ingatlah, Allah swt sahajalah yang mampu memberikan ilham dan lintasan kebaikan kepada manusia. Manalah tahu jika anda meminta Allah swt supaya selesaikan masalah dunia anda, tiba-tiba ada manusia lain datang dari mana (kita juga tidak kenal), hadir dan menghulurkan bantuan? Bukankah itu pelik tapi benar untuk kita yakin bahawa Allah itu maha mendengar?

Harus diingat, disaat kita berada dalam kesenangan ataupun susah, sering-seringlah kita mengucapkan syukur dan memberi. Hal ini kerana, pemberian dan syukur merupakan tanda-tanda suburnya iman dalam hati. Disaat adanya iman, kita akan sentiasa bahagia walaupun kehidupan ini serba serbi tidak adil pada kita.

Carilah redha Allah swt berbanding redha manusia. Kerana redha manusia tidak kekal lama berbanding redhaNya Allah pada kita.


Syamil Yusuff
Julai 2012

No comments:

Post a Comment