Thursday, 22 August 2013

Doa itu apa?

Apabila disebutkan tentang doa, apa yang kita bayangkan? Adakah sikap kita terhadap doa atau apa yang kita doakan? Sudah tentu, pelbagai jenis keadaan minda kita apabila menyebut tentang doa. Ada di antara kita yang sungguh-sungguh dalam berdoa. Ada juga yang tidak kisah akan doa. Sebagai contoh mudah, setelah selesai sahaja solat, adakah kita telah mengangkat kedua belah tangan ini dan meminta sesuatu dari Maha Pencipta kita? Atau setelah selesai solat, kita bangkit dan tinggalkan sejadah dibelakang.

Cerita tentang doa nampak simplistik, tetapi besar maknanya dalam kehidupan kita. Berdoa adalah satu bentuk perbuatan yang sangat aktif; menguatkan lagi atau menambahkan lagi keyakinan kita kepada yang Maha Pemberi. Ibarat komunikasi cinta dengan Maha Pemberi Cinta! Semakin banyak kita berkomunikasi dengan seseorang yang kita cintai, maka semakin intimlah perhubungan itu. Ingatlah bahawa, Allah swt akan perkenankan permintaan hambaNya dengan menyatakan dua janjiNya seperti di dalam surah Al-Mu'min ayat 60:

'Mohonlah doa kepadaKu nescaya Aku perkenankan' dan surah Al-Baqarah ayat 186; ' Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu'

Cepat @ Lambat?

Persoalan ini sering bermain di fikiran orang yang berdoa. Kadangkala timbul rasa putus asa dan akhirnya jarang berdoa. Ingatlah, Allah swt perkenankan doa pada waktu yang Dia mahukan dan bukan pada waktu kita mahukan. Yes! Kadangkala kita hilang rasa sabar dengan pertolongan dariNya atau kita mula rasa hilang kepercayaan dengan apa yang telah kita doakan. Adakah Allah swt lalai atau leka atau tidak tahu kedudukan kita yang sedang terhimpit ini? Sudah tentulah Allah swt tahu segala-galanya!

Ada kalanya doa yang dipinta seolah-olah lambat atau lewat muncul kerana mungkin ada sesuatu hikmah yang kita tidak tahu dan sedar. Ada kalanya cepat kerana ada mesej tersembunyi dariNya!

Berdoalah, dan bukakanlah hati dan fikiran kita agar kita mesra dengan doa. Doa juga adalah faktor yang menyebabkan takdir boleh berubah!

Renungilah sabda nabi Muhammad saw; 'Tida doa akan dimustajabkan tanpa adanya keraguan lagi; Doa orang musafir, doa orang yang dizalimi dan doa seorang bapa buat anaknya!

Doa seorang bapa kepada anak-anaknya ibarat doa nabi buat umatnya!

Ayuh! Letakkanlah! Gabungkanlah satu bentuk emosi yang khusus di dalam doa kita. Bukan lagi sekadar membaca doa tanpa ada 'rasa' di dalam perbuatan itu. Doa yang hebat seperti mana yang digarikan oleh nabi tadi sebenarnya adalah kerana wujudnya emosi khusus di dalam situasi itu!

Allah swt menyingkap apa yang kamu doakan kepadaNya jika Dia mahu! ~ Al-An'am:41

Wallahualam!

No comments:

Post a Comment