Saturday, 14 July 2012

Aku ketagih.....Benarkah 'Aku' Ketagih?

Selepas mendengar cerita dari anak-anak muda hari ini yang mula 'jinak' dengan bahan-bahan yang merbahayakan, saya begitu simpati dengan mereka. Kesannya menyeluruh, iaitu mengancam dimensi fizikal, intelek, emosi dan spiritual. Malah, mereka turut boleh kehilangan daya atau potensi terhebat ini dalam beberapa tahun atau bulan! Bukankah potensi diri ini harus dikembangkan ke arah yang positif agar mampu meraih kejayaan di masa depan?

Mereka ini terlibat dengan; ketagihan rokok, dadah, ganja, gam, pil kuda, arak, video games, hiburan, bahan pornografi melampau, seks @ zina, melepak, internet @ facebook, twitter dan sebagainya. Semua ini merupakan 'bahan' yang telah diambil-masuk ke dalam diri sehingga bertahun-tahun lamanya! Bayangkan, betapa lamanya mereka hidup dengan 'bahan racun' yang dianggap boleh melemahkan diri sendiri.

Kasihan mereka. Pada usia muda, bahan-bahan racun ini telah pun 'bersarang' pada usia yang sangat awal. Dan, saya amat berkeyakinan, jika mereka sedar betapa bahayanya bahan ini mereka ketagihkan, pada masa akan datang, jika mereka ingin tinggalkan atau buang tabiat ini, mereka harus bekerja berganda-ganda payahnya untuk tujuan penyembuhan diri.

Itulah kelompok remaja belia yan saya telah bersama. Namun, bila ditanya, adakah anda ingin kejayaan dalam hidup? Mereka semua menganggukkan kepala tanda ingin.

Ketagihan. Apa yang di alami sebenarnya oleh kita? Ketagihan boleh di anggap sebagai salah satu penyakit mental yang menyentuh aspek psikologi. Norma kehidupan 'asing' dan baru telah merubah polar berfikir, bertindak, merasa dan sebagainya. Namun, akibat ketagihan kebiasaannya adalah 'pengambilan', luangan masa dan fokus yang terlalu tinggi atau intens, sehingga ia menjadi satu set minda yang boleh dianggap sebagai keperluan hidup.

Mari kita tanya beberapa soalan dibawah:

1.Mengapa manusia ketagih?
2. Apa faktor yang menyebabkan mereka begitu?
3. Apakah kesan psikologi (fizikal-intelek-emosi) manusia jika ketagih?

4. Apakah kesan ketagihan yang berpanjangan tanpa penyembuhan diri?
5. Adakah ketagihan ini semata set-minda?

Manusia terdiri dari 4 potensi asas; PIES. Di dalam Al-Quran, begitu banyak sekali ayat-ayat yang menerangkan tentang hakikat kejadian manusia dan psikologinya. Antara ayat yang menerangkan tentang inti sebenar manusia ialah di surah As Sajadah ayat 8-10 yang menerangkan tiupan roh ciptaan Illahi. Tiupan suci ini telah berlaku pada setiap manusia sejak di alam rahim lagi. Iaitu sebelum manusia dilahirkan. Unsur fizikal, intelek, emosi dan spiritual telah pun siap (built-in) oleh Allah swt kepada manusia.

Apabila manusia hidup di dunia, manusia memerlukan asas untuk hidup; di antaranya

i) makanan
ii) pakaian
iii) tempat tinggal
iv) ilmu

4 asas ini menyentuh aspek fizikal-intelek-emosi manusia. Tubuh badan manusia memerlukan makanan untuk memperolehi nutrisi,vitamin dan keperluan untuk mengembang. Namun, disebalik makanan yang manusia makan, terdapat aktiviti yang dinamakan melampaui batas. Makan lebih. Makan lebih disini bukanlah bermaksud makan 2 ke 3, 4 pinggan, tetapi melampaui batas dalam mengambil bahan-bahan yang merosakkan potensi fizikal itu sendiri. Seperti tadi, rokok, gam, ganja, arak dan sebagainya. Semua bahan 'beracun' ini akan diproses oleh kecerdasan fizikal (biologi manusia). Namun, kesannya, manusia akan menjinakkan potensi fizikalnya dengan bahan ini. Akhirnya, daya fizikal mereka benar-benar membuatkan diri mereka terpaut kukuh dengan satu atau lebih bentuk ketagihan. Bagaikan kita memberi makan pada ikan yang sangat lapar di kolam. Ikan menjadi rakus dan begitu lahap sewaktu mendapat makanannya.

Saat ketika manusia ketagih, mereka juga akan berkarakter seperti ikan yang lapar! Hanya untuk memenuhi 'kelaparan' fizikal tubuh badan nafsu mereka sahaja!

Ketagihan....Adakah fizikal-nafsu kita yang memerlukan? atau roh kita?

Saat manusia ketagih pada rokok, adakah spiritual anda juga ketagihkan rokok itu?
Saat manusia ketagih pada arak, gam, dadah, internet dan sebagainya, adakah roh anda juga ketagih akan bahan-bahan ini?

Di dalam diri kita, siapa yang sebenarnya ketagih? Nafsu atau roh?

Siapakah nafsu itu? dan siapakah pula roh yang ada di dalam diri kita?

Adakah kedua-duanya turut ketagih kesan dari pengambilan bahan-bahan yang terlampau?!!

Disinilah persoalan besar tentang ketagihan...Hakikatnya, saat ketika manusia berada dalam ketagihan, diri sebenar manusia iaitu roh/ spiritual, tidak ketagih sama sekali. Yang menjadi sangat rakus dan lapar itu adalah nafsu serakah manusia.

Disaat manusia sedang rakus memenuhkan kekosongan 'perut' nafsunya, roh manusia akan berkata-kata, 'AKU TIDAK PERLUKAN INI SEMUA!'

Jadi, diluar daerah AKU itu bukanlah telambat untuk disembuhkan. Disaat kita berada di dalam ketagih, katakan pada diri sendiri, AKU (merujuk pada roh diri sendiri) tidak perlukan semua ini. Walaupun anda sebenarnya berada dalam satu pertarungan diri-sendiri, gunakanlah kata-kata AKU TIDAK PERLUKAN SEMUA INI!

AKU TIDAK PERLUKAN rokok, gam, bahan pornografi, internet, rempit, zina, dan semua perkara negatif yang merosakkan fizikal, intelek dan emosi anda.

Katakanlah pada diri dengan merujuk, tiupan roh Illahi yang ada pada diri setiap manusia.

Kita masih boleh sembuhkan diri kerana bahagian spiritual @ roh kita tidak akan tertarik dan ketagih dengan bahan-bahan yang bersifat 'tanah'; lemah, berat dan menyeksakan. Tetapi roh memerlukan energi yang lebih ringan, cepat, pantas serta sejuk dari sumber aturan kehidupanNya iaitu kembali kepada Tuhan.Ternyata, saat nafsu anda ketagih, katakan, AKU TIDAK PERLUKAN INI. AKU PERLUKAN ALLAH UNTUK MENGENYANGKAN AKU. UNTUK MENGHIBURKAN AKU. UNTUK MEMBUATKAN AKU BAHAGIA. AKU PERLUKAN ALLAH................................

Renungilah doa khusus yang sering dibaca oleh Barid al Aslami selepas diajarkan oleh Rasulullah saw;

Ya Allah, aku sangat lemah. Oleh kerana itu, gantikanlah kelemahanku dengan kekuatan dalam redhaMu. Peganglah ubun-ubunku untuk menuju ke arah kebaikan. Jadikanlah Islam akhir dari keridhaanku. Ya Allah, aku sangat lemah, kuatkan aku. Aku sangat hina, muliakanlah aku. Aku sangat fakir, cukupkanlah aku dengan rahmatMu wahai Maha Pengasih di antara yang suka mengasih! (Kitab Qutul Qulub Jilid pertama-m/s38)

Inilah kuasa AKU. Siapa 'aku' itu? Dia ada di dalam dirimu yang ditiupkan oleh Sang Maha Meniupkan!

Ingatlah, tanpa ada usaha untuk melakukan penyembuhan diri, kita akan sentiasa terpenjara di dalam diri sendiri yang sebenarnya bebas. Jika tidak ada usaha ini, manusia akan berputar-putar kehidupannya dari ritual yang tiada penghujung!


Kuasailah Diri Dengan AKU (rujuk pada potensi spiritual bukan pada nafsu) yang ada di dalam anda!


Syamil Yusuff 2012

No comments:

Post a Comment