Friday, 28 December 2012

KEBAIKAN BERASA BAHAGIA & TENANG



Sewaktu saya dan anak saudara saya bersama memotong buah limau oren, saya mengajukan satu soalan kepadanya. Jika Pak Tam (gelaran saya dalam keluarga), memerah buah oren ini, apa yang akan keluar? Anak saudara saya sambil ketawa berkata; mestilah air limau Pak Tam! Takkan keluar air tembikai kot!? Saya menambahnya lagi;  Betul tu! Itulah jawapannya! Kalau Pak Tam tekan lagi kuat, pasti semua isi buah oren ini akan keluar!

Inilah metafora kehidupan kita sebagai manusia. Mari kita letakkan metafora buah limau oren ini dalam kehidupan seharian kita. Apa yang akan berlaku kepada kita jika manusia di sekeliling memberi ‘tekanan’ kepada kita? Apa yang biasa kita tonjolkan? Apakah respon yang ‘terkeluar’ dari kelakuan atau percakapan kita apabila ada manusia berkata sesuatu yang tidak kita selesa untuk mendengarnya tentang diri kita? Keluarga kita? Apa yang bakal terjadi jika kita mendapat tekanan negatif dari kenalan, majikan, jiran tetangga, anak-anak dan sebagainya? Sudah tentu isi ‘oren’ bukan? J

Namun yang demikian, saya tidaklah bermaksud, jika isi oren ini membawa maksud yang negatif kemudian kita mampu menukar isi oren kepada isi yang lain disaat kita ‘diperah’ dengan kuat. Apa yang harus kita fahami di sini ialah, setiap tekanan yang dialami pasti akan keluar isinya! Namun yang demikian, persoalannya, apa yang biasa kita keluarkan? Dan bagaimana isi itu boleh ada di dalam diri kita? J

Minda manusia di lengkapi dengan limbic system; peranan otak untuk menghantar isyarat-isyarat emosi. Namun yang demikian, setiap apa yang ada di dalam pemikiran kita, sebenarnya mampu dikawal dan mampu di aturkan dengan baik dan tenang. Lihatlah pengajaran terbesar dari tokoh nombor 1 pemimpin berpengaruh dunia iaitu nabi Muhammad saw. Saat baginda dan sahabat sedang berjalan di sekitar masjid, mereka semua terlihat seorang Arab Badwi sedang melepaskan hajatnya (membuang air kecil) di tepi dinding masjid. Secara spontan, para sahabat ingin memarahi orang arab itu tetapi perbuatan itu dilarang oleh nabi sendiri. Dengan tenang dan sabar, nabi Muhammad saw hanya mengatakan; Biarkan orang itu melepaskan hajatnya! Bukankah peristiwa ini mengandungi isyarat kepada kita bahawa, kita mampu mengawal apa sahaja bentuk pemikiran dan perasaan untuk meraih hikmah?

Kajian yang amat unik mengenai manusia yang bahagia tenang dan gembira dengan manusia yang tidak tenang, tidak bahagia dan tidak gembira mempunyai rupa bentuk dan pengembangan otak yang sangat berbeza! Saat ini, kajian mengenai kesan psikologi terhadap fisiologi terutamanya mengenai perasaan bahagia dan tenang telah direkodkan di dalam makmal-makmal sains. Para ahli neurologi telah melakukan imbasan dengan menggunakan teknologi imbasan MRi atau PET. Kajian ini telah dilaksanakan oleh Richard Davidson dan timnya, dari University of Wisconsin. Menariknya, terdapat perbezaan ketara terhadap pengembangan otak apabila manusia mengalami pengalaman bahagia, gembira dan tenang.

Menurut Davidson, saat dimana manusia mengalami pengalaman yang bahagia, gembira dan tenang, pada bacaan EEG menunjukkan, terdapat aktiviti yang aktif pada bahagian kiri-depan otak. Jika seseorang itu mengalami pengalaman yang negatif, maka aktiviti otak pada bahagian kanan-depan akan menunjukkan isyarat aktif. Sebagai contoh mudah, di saat manusia menonton filem yang lucu, mereka akan ketawa dan perasaan positif ini akan menunjukkan isyarat pada otak kiri-depan. Manakala, jika disebaliknya, mereka menangis kerana mendapat khabar berita yang menyedihkan, maka isyarat aktif otak adalah pada sebelah kanan-depan.

Kajian menarik yang telah dilakukan oleh Dr. Lyubomirsky, menerusi bukunya yang bertajuk; The How of Happiness: A New Approach to Getting the Life You Want, menerangkan bahawa,

40% dari kebahagiaan manusia mampu dikawal sepenuhnya oleh diri sendiri. Secara umumnya, kebahagiaan bukanlah satu pilihan tetapi ia adalah satu jalan yang harus dipraktikkan untuk memastikan tahap perkembangan psikologi diri kita sentiasa pada tahap yang baik. Aktiviti mudah seperti senyum kepada orang lain, memeluk kenalan yang rapat atau mereka yang kita ambil berat tentangnya dan menunjukkan rasa bersyukur akan apa yang kita miliki akan melonjakkan lagi rasa bahagia walaupun psikologi semasa diri kita dalam keadaan yang sangat negatif.

Bukankah amalan ini merupakan satu keperluan manusia yang penting? Untuk berasa bahagia dan tenang?

Renungilah firman Allah swt di dalam surah Yunus, ayat 58 yang bermaksud;

 

Katakanlah (Wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata Dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka Dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bergembira (bukan Dengan Yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa Yang mereka himpunkan dari Segala benda dan perkara Yang tidak kekal)".

 

Subhanallah, menurut tafsir, ayat ini menggesa agar kita harus berasa gembira dan bahagia apabila Al-Quran diturunkan kepada sekalian manusia. Jika semua jenis stimulus yang membuatkan kita berasa kehidupan ini amat membahagiakan (harta, isteri, anak, reputasi dsb), maka Tuhan memperingatkan kepada kita, isikandung Al-Quran itu mampu melonjakkan lagi rasa gembira, bahagia dan tenang kepada psikologi manusia berbanding dengan apa yang manusia kumpulkan! Sesungguhnya, apa yang dicadangkan oleh Dr. Lyubomirsky tadi, iaitu senyum, memeluk kenalan taulan, menzahirkan rasa syukur dan sering berterima kasih dan sebagainya, bukankah semua ini telah pun diajarkan oleh Nabi Muhammad saw? Bukankah kebahagiaan dan ketenangan itu sudah tercatat jelas lagi terang di setiap amalan kehidupan (sunnah) baginda?

 Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Surah Al Ahzab, ayat 21

*Petikan dari Penulisan buku Syamil Yusuff & Syamil Bunyamin - Belajar Memiliki Bukan Mengejari 2013

No comments:

Post a Comment