Sunday, 27 January 2013

Keyakinan dan Penghayatan Remaja



Bagaimanakah untuk menimbulkan rasa keyakinan yang tinggi di dalam diri anak-anak/ murid atau pelajar/ remaja kita? Pernahkah kita merasakan bahawa keyakinan itu penting dalam memastikan, apa yang di ajarkan/ di didik dan seumpamanya itu akan menjadi nadi utama dalam kehidupan mereka?

Namun persoalannya hari ini, apakah kayu ukur untuk melihat Islam ini benar-benar difahami, dihayati dan diyakini oleh remaja kita pada hari ini?

Jika kita menghantar anak-anak/ remaja ke sekolah, kita akan mampu untuk melihat prestasi akademik mereka melalui ‘sistem laporan akademik’ mereka. Setiap kali peperiksaan tamat, sistem pemarkahan dan peratusan mereka akan direkodkan dan diserahkan kepada ibubapa. Akhirnya, penjaga atau ibubapa dapat memantau perkembangan akademik anak-anak/ remaja berdasarkan kepada rekod tersebut. Tetapi bagaimana pula dengan pemantauan terhadap keyakinan dan penghayatan cara hidup Islam remaja/ anak-anak?

Ada beberapa persediaan yang harus kita ‘siap’kan untuk remaja kita pada hari ini. Antara persediaan itu ialah:

1.      Ilmu
2.      Yakin
3.      Ikhlas
4.      Kebenaran
5.      Cinta
6.      Menerima tidak menolak
7.      Aktif


Ilmu

Perkara yang paling asas dan besar kesannya ialah persediaan ibubapa/ guru dan sesiapa sahaja yang lebih dewasa dalam melihat perkembangan remaja, adalah menyediakan ‘asas’ ilmu pengetahuan yang benar-benar kukuh. Ilmu pengetahuan ini bukan sahaja di harapkan di sekolah dan di bilik-bilik darjah sahaja, namun ia harus diperluaskan lagi di seluruh tempat agar percambahan ilmu itu berkembang.

Pengalaman saya dalam berinteraksi dengan remaja, kebanyakan mereka mengatakan bahawa, belajar agama adalah untuk menjawab soalan peperiksaan. Bolehkah kita bayangkan, apakah persepsi sebenar pemikiran anak-anak remaja kini dalam menuntut ilmu? Adakah ianya semata-mata untuk berjaya dan lulus dalam peperiksaan semata-mata? Jika hal ini berlaku, maka kita harus mengambil langkah untuk membimbing mereka kearah yang betul.

Ilmu adalah panduan. Jika ilmu hanya diperolehi semata-mata untuk ditukarkan kepada bentuk material sahaja, maka tidak hairanlah mengapa remaja kini merasakan satu ‘tekanan’ bahawa belajar di sekolah, universiti atau dimana-mana sahaja hanyalah untuk memperolehi sehelai kertas sijil/diploma/ijazah.

Apakah bentuk ilmu yang harus di tanamkan di dalam dada remaja kita hari ini?

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali Imraan, ayat 18 yang bermaksud,

Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan demikian). Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana

Mengapakah saya menghitamkan perkataan ‘orang-orang yang berilmu’ ? Apakah istimewanya orang yang berilmu ini? Dan bagaimanakah dimensi atau kedudukan orang yang berilmu itu seperti mana yang disebutkan di dalam ayat tersebut?

Jika anda merujuk di dalam Al-Quran, di dalam ayat tersebut ada perkataan (dalam bahasa Arab) ‘syahida’.Apakah yang dimaksudkan dengan ‘syahida’ ini? Menurut tafsir Al Mishbah, perkataan ‘syahida’ itu adalah merujuk kepada perkataan menyaksikan. Dan dengan perkataan lain juga, ia bermaksud melihat, mengetahui, menghadiri dan menyaksikan, baik dengan mata kepala atau dengan mata hati.

Apakah bentuk persaksian itu?  Persaksian itu adalah satu pengakuan, ketundukan dan akur akan hakikat kewujudan diri sendiri di muka muka bumi ini. Ia adalah satu pengakuan bahawa, diri ini adalah hamba kepada Tuhan. Malah, bukan itu sahaja, persaksian itu juga merangkumi kebenaran dan persaksian bahawa alam yang terbentang luas ini juga adalah diciptakan oleh Tuhan.

Bagaimana untuk menghadirkan persaksian itu di dalam diri remaja kita pada hari ini? Persoalan ini adalah pantulan kepada ‘apakah yang diajarkan oleh ibubapa/ guru/ penjaga dan mereka yang berkait rapat dengan remaja hari ini? Adakah kita benar-benar mengajarkan mereka ilmu yang betul atau ilmu yang membuatkan mereka semakin jauh dari mengenal diri dan Tuhannya?’ .

Persoalan lain juga timbul, ‘Hari ini remaja kita sudah bijak pandai. Mereka mampu mendapatkan ‘A’ dalam semua mata pelajaran di sekolah. Bukankah itu juga satu bentuk pendidikan?’ .

Hal ini harus kita menyoal semula di dalam diri kita, ‘Mengapa ramai dikalangan remaja kita pada hari ini banyak menimbulkan masalah? Mereka terlibat dengan budaya yang tidak sihat, menimbulkan masalah sosial, malah mereka merupakan agen perubah kepada satu paten budaya yang tidak membina malah ia merosakkan diri dan masa depan mereka?’

Mari kita merujuk semula ayat Ali Imraan, dalam tafsiran Al Mishbah, orang yang berilmu itu adalah orang yang benar-benar mengakui akan kebesaran Tuhannya. Semakin banyak ilmu yang diperolehinya, maka semakin tunduklah ia kepada Pencipta. Hal ini juga ada di dalam pepatah orang Melayu; Ikutlah adat padi, semakin berisi, semakin tunduk’.

Adakah remaja kita hari ini, semakin berilmu, semakin akur dan tunduk kepada Tuhannya? atau semakin sombong dengan Tuhannya?

Dalam kata erti yang lain, kesaksian (syahida) itu juga membawa kepada satu kesaksian yang berdasarkan kepada keadilan. Apakah yang dimaksudkan dengan keadilan itu?

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud

Barangsiapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya

Dan hadith Rasulullah s.a.w.

Setiap anak yang dilahrikan itu adalah dalam keadaan putih (fitrah). Maka kedua ibubapa merekalah yang memajusiakan, menasranikan mereka

Keadilan ini ialah adil dalam menentukan pilihan. Jika remaja kita pada hari ini memilih cara hidup bukan Islam, maka mereka sedang melakukan ketidakadilan dalam hidup mereka. Begitu juga kepada mereka yang mendidik, mengajar remaja pada hari ini. Jika kita mendidik dan mengajar anak-anak muda kita ini kepada arah yang tidak menuju kepada ketundukan, maka kita sedang melakukan kezaliman ke atas mereka.

Ilmu yang benar adalah ilmu yang mampu membawa kepada ketundukan, keEsaan dan  ketauhidan yang benar dan sahih.

Yakin

Soal keyakinan sebenarnya amat sukar untuk di ukur. Kadangkala, secara zahir kita melihat bahawa, remaja kita sedang melakukan solat, berpuasa atau apa sahaja yang berkaitan dengan ibadah zahir (luaran). Tetapi, adakah mereka ini benar-benar yakin dengan perkara yang dilakukannya itu?

Saya ingin berkongsi dengan pembaca sekalian dengan satu ‘feedback’ dari salah satu program yang telah dilakukan. Berikut adalah respon remaja kita: http://www.kedaimakan.com/total-success/downloads/03Schools/Motivation/ayistl.pdf

Sebahagaian responden ini adalah remaja yang baik, tetapi kebanyakkan mereka terabai dari sudut pendidikan yang seharusnya diberikan.

Persoalan untuk kita renungkan bersama: Adakah remaja kita kini yakin dengan agama yang mereka amalkan selama ini?



No comments:

Post a Comment