Sebagai
seorang remaja, topik emosi kadangkala disalah erti dan kadangkala juga disalah
urus. Hal ini berlaku kerana, kita tidak ada ilmu atau tiada pendidikan khusus mengenai
apa itu emosi dan bagaimana untuk menguruskan emosi di bangku sekolah
universiti, malah di rumah. Akhirnya, kita hanya mengetahui dan memahami emosi
itu pengalaman diri sendiri dan orang lain. Dialog yang biasa kita dengar dalam
perbualan remaja belia tentang emosi ialah seperti; “Eh,relaks la. Kena emo sangat?” Atau, “Engkau janganlah emo sangat. Kalau macam ni,elok engkau joint kumpulan
emo!”. Dan bermacam-macam lagi dialog remaja tentang emosi. Dan kadangkala,
orang dewasa mendengar kata-kata seperti ini, sukar untuk difahami. Namun yang
demikian, adakah remaja hari ini faham akan maksud emosi? Apa itu emosi dan
bagaimana emosi manusia bekerja? Adakah emosi ini sering dikaitkan dengan
respon yang negatif? Atau bagaimana?
4 Kecerdasan Utama Manusia
Pertama
sekali, remaja haru tahu dan sedar bahawa, manusia mempunyai empat kecerdasan
utama iaitu; kecerdasan fizikal (Physical
Quotient), kecerdasan intelektual (Intellectual
Quotient), kecerdasan emosi (Emotional
Quotient) dan kecerdasan spiritual (Spiritual
Quotient). Atau ringkasnya,P-I-E-S Quotients. Keempat-empat kecerdasan ini
sering berinteraksi di antara satu sama lain dan ia tidak boleh
dipisah-pisahkan. Kehidupan manusia ini akan harmoni apabila terdapat
keseimbangan di antara keempat-empat potensi ini. Namun, hakikatnya, manusia
sering berlumba-lumba membangunkan salah satu di antara keempat-empat potensi
ini sahaja. Sebagai contoh, remaja hari ini hanya menfokuskan kepada keupayaan
atau kecerdasan intelektual semata-mata. Setiap hari ke sekolah, kemudian
pulang dari sekolah, disambung pula dengan kelas tambahan, tuisyen dan
sebagainya. Tetapi, fokus kepada pembangunan dan keseimbangan emosi, spiritual
dan fizikal mula diambil ringan dan kadangkala diabaikan.
Keseimbangan Potensi Diri
Apa yang
bakal terjadi jika kecerdasan emosi, spiritual dan fizikal tidak dibangunkan
secara seimbang? Cuba kita lihat dan baca laporan berita di akhbar, majalah,
blog dan sebagainya mengenai kes salah laku remaja kita di Malaysia. Ada
laporan menyatakan pelajar pintar, lari dari rumah kerana mengikut pengkid;
Remaja 15 tahun terlanjur 20 kali; Tidak mahu berpuasa,tetak kepala emak;
Berkhalwat di dalam surau; Tiga remaja hasilkan video lucah dicekup dan
sebagainya dan kadangkala sukar untuk masyarakat kita mempercayainya? Mengapa
semua ini berlaku kepada golongan remaja? Adakah kurang didikan di rumah?
Sekolah atau universiti? Bukankah remaja yang bersekolah atau mereka yang sudah
pun melanjutkan pelajarannya ke universiti merupakan satu bukti bahawa,
golongan remaja kita amat tinggi IQ-nya? Mampu menghafal, mengira, membaca?
Hal ini
sudahpun kita fahami bahawa, apabila tidak ada titik keseimbangan pada potensi
manusia, maka manusia sebenarnya mendekati kepada kemusnahan pada dirinya.
Lihat lagi contoh pada orang yang tinggi IQ-nya iaitu Ted Kaczynski, seorang
anak remaja hebat yang sudah memasuki Harvard pada umur 16 tahun dan tamat
pengajiannya pada umur 20 tahun. Dalam usianya yang sangat muda remaja, beliau
juga telah menamatkan pengajiannya di peringkat Master dan Kedoktoran (Ph.D),
dalam bidang matematik di Universiti of Michigan. Akhirnya menjadi seorang
pensyarah yang amat disegani dan dikagumi bakatnya di Universiti California di
Berkeley. Tahukah anda, apa yang telah dilakukan oleh beliau? Beliau kini di dalam
penjara kerana telah mencipta bom yang canggih serta kuat kuasa ledakannya. Ciptaannya
itu telah membunuh 3 orang dan 22 orang tercedera! Mengapa beliau melakukan
sedemikian? Bagaimana kisah hidupnya semasa di sekolah dan universiti?
Para
kaunselor telah melakukan sesi bersamanya. Didapati, semasa beliau di alam
remaja, Ted Kaczynski telah dibesarkan dengan asakan IQ sehingga kurang
bersosial dengan orang di sekelilingnya. Sepanjang usia di sekolahnya, ia tidak
pernah bergaul dengan sesiapa dan tidak pernah menyertai mana-mana aktiviti.
Usianya semakin meningkat, maka, Ted Kaczynski sering berjalan cepat dan sering
menjauhi sebarang aktiviti sosial. Malah, rakan-rakannya di Harvard
menggelarkan Ted dengan gelaran yang tidak baik. Persoalannya disini, adakah
kecerdasan intelek semata-mata akan membuatkan kita menjadi manusia yang
seimbang dan harmoni?
Di dalam
firman Allah swt menerusi surah Az Zumar, ayat 53 membawa maksud; Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai
hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan
perbuatan-perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,
kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua
Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Apakah
pengajaran terbesar yang boleh kita pelajari dari ayat di atas? Di dalam tafsir
Ibnu Kathir, ayat suci ini merupakan satu pesan suci Tuhan kepada
hamba-hambanya yang kafir dan yang tenggelam dalam dunia kemaksiatan dan
kefasikan agar mereka bertaubat dan kembali kepada Allah swt, berserah diri dan
kemudian sesekali jangan berputus asa dengan rahmat Allah dan kasih sayangNya. Inilah peringatan besar
Allah swt kepada seluruh manusia atau hambaNya yang mula berasa dunia ini
seolah-olah berkonspirasi untuk membinasakan kehidupan mereka!
Punca Kerosakan Diri
Mari kita
tanyakan soalan emas kepada diri kita. “Adakah satu dosa atau kesalahan yang
manusia lakukan, tidak ada kena mengena dengan kecerdasan emosi?” dan “Apakah
situasi psikologi yang bakal dialami oleh mereka yang sering melakukan dosa
atau kesalahan ini?
Jawapannya
sudah jelas, dengan adanya situasi emosi yang tidak stabil dan sering
bertukar-tukar polar emosi, maka kadangkala, manusia akan tersalah membuat atau
mengambil tindakan. Biasanya, perbuatan dosa atau kesalahan, dilakukan oleh
manusia adalah bergantung kepada situasi emosinya. Jika manusia yang berada di
dalam situasi emosi yang baik atau positif, maka jarang sekali perbuatan atau
aktiviti negatif akan dilakukan. Tetapi jika emosi manusia berada di dalam
polar negatif, maka, disitulah mulanya, pemikiran, rasa dan tindakan yang
negatif mula menguasai diri. Sebagai contoh mudah, berdasarkan laporan akhbar
tentang remaja dan belia di Malaysia yang terlibat dengan kes salah laku moral
dan jenayah. Apabila ditanya, “Mengapa anda melakukannya?” Jawapan biasa yang
diberikan ialah berpolarkan keadaan emosi yang negatif. Jawapannya seperti;
i)
“Dia selalu membuatkan saya marah!”,
ii)
“Ibubapa saya tidak ambil peduli tentang
saya, tetapi rakan-rakan saya tidak begitu!”,
iii)
“Semua benda dia dapat dari mak ayah.
Handphone, i-pad, duit dan macam-macam lagi! Saya pun nak hidup macam dia!”,
iv)
“Saya berasa keseorangan. Semua rakan saya
ada teman lelaki. Saya pun ingin seorang teman!” dan bermacam-macam lagi
suara hati dan bentuk pemikiran yang mana berakhir dengan satu tindakan yang
terancang tanpa adanya kekuatan spiritual yang tinggi.
Sehubungan
dengan itu, apabila polar emosi diri tidak mampu dikawal dan tidak mampu
diuruskan dengan baik, maka, kebiasaannya selepas satu tindakan telah diambil
berdasarkan situasi emosi yang negatif, maka rasa menyesal atau putus asa akan
timbul di dalam hati dan fikiran. Keadaan psikologi inilah yang Allah swt
sebutkan di dalam surah Az Zumar, ayat 53 tadi yang mana, apabila manusia mula
merasakan diri mereka hina dan penuh dengan penyesalan, maka Allah swt
menawarkan satu proses penyembuhan diri (self
healing) yang baik iaitu kembali kepada Allah swt! Firman Allah swt di
dalam Az Zumar ayat 54 yang bermaksud; "Dan
kembalilah kamu kepada Tuhan kamu Dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat
kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan
diberikan pertolongan.
Pengajaran Besar Al-Quran Tentang Emosi
Menerusi
ayat ini, kita sudah mampu memahami serba sedikit tentang apa itu makna
berputus asa yang biasanya mendekati kepada penyesalan. Di saat manusia berada
di kotak berputus asa, akibat kesilapan akan kesalahan yang pernah dilakukan
pada waktu yang lepas, Allah s.w.t memberikan satu tawaran dan juga cadangan
supaya kita tidak terlalu lama dan selamanya berada di dalam situasi tersebut.
Jika manusia terus hidup dengan diselubungi emosi negatif, maka, kehidupan
mereka sering di dalam kemurungan, kesedihan, pandangan hidup yang selalu pesimis
dan tidak produktif. Malah, Allah s.w.t melarang kita untuk berasa putus asa
dengan semua kesalahan yang pernah dilakukan akibat dari polar emosi yang bertenaga
negatif.
Justeru,
ayat ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu penyebab (cause) dan kesan (effects). Polar ini dapat kita lihat menerusi polar 1 dan polar 2
dengan ayat ini;
Polar
|
Ayat
|
Refleksi
Psikologi
|
1
Cause
|
Katakanlah
(Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana
Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
|
·
Psikologi manusia
yang menjurus kepada pemikiran dan perasaan yang negatif; berputus asa dan
menyesal
·
Penyembuhan
diri menuju inner peace mampu
diraih dan diwujudkan oleh diri sendiri dengan adanya proses tertentu; dalam
konteks ini, konsep taubat adalah langkah penyembuhan diri
·
Ada
harapan dan tindakan spesifik untuk meraih kekuatan diri
|
2
Effects
|
"Dan
kembalilah kamu kepada Tuhan kamu Dengan bertaubat, serta berserah
bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu
tidak akan diberikan pertolongan.
|
·
Jika terus
membiarkan diri ini dalam keadaan yang negatif, khuatir akan memakan diri
·
Self sabotage adalah keadaan diri yang terus membiarkan
diri ‘sakit’
·
Diri terus
menerus diselubungi dengan rasa gelisah, takut (fear), putus harapan, tidak produktif
·
Kesannya,
berdasarkan perkataan ‘azab’ itu adalah kesan di dunia; situasi emosi dan
fikiran semakin jauh dari ketenangan
|
Emosi Harus Dikawal dan Diurus
Justeru,
hari ini, waktu ini, saat ini, remaja dan semua dari kita harus faham dan
sedar, apakah peranan kecerdasan emosi terhadap produktiviti harian kita. Jika
kita sering berada di dalam daerah emosi yang negatif, maka produktiviti kita
akan menerima kesan yang sama. Namun, bayangkan, walau apapun faktor luaran
yang memicu emosi, maka katakanlah kepada diri bahawa, emosi yang negatif adalah
tidak baik untuk diri kita jika terus menerus membiarkannya tanpa kawalan dan
pengurusan yang betul. Kita khuatir, tindakan seterusnya berdasarkan ‘emosi
semasa’ kita akan melakukan satu perbuatan yang akan menyakiti diri sendiri
atau orang lain.
Faedah Pengurusan Emosi
Apa yang
bakal terjadi kepada diri kita, jika kita mampu mengurus dan mengawal emosi
kita agar sentiasa berada di dalam daerah positif? Apa yang bakal terjadi
kepada kita jika kita mampu mengawal dan memahami, apakah bentuk emosi yang
sedang berlaku di dalam diri kita? Bukankah mudah untuk kita mengurusnya dan
mengawalnya dengan baik? Bukankah situasi ini akan membuatkan kita berasa
bahagia dan tidak mudah untuk melakukan perkara yang merugikan?
Daniel
Goleman, menerusi bukunya Emotional
Intelligence (1995), telah mendefinisikan kecerdasan emosi ialah merujuk
kepada keupayaan diri untuk mengenal perasaan diri sendiri dan orang lain untuk
memotivasikan diri serta mengurus emosi dengan baik dan juga memelihara perhubungan
sesama manusia. Kecerdasan emosi yang dimiliki oleh semua manusia adalah satu
anugerah yang harus kita kuasai. Tanpa kekuatan dan ilmu yang khusus
mengenainya, kita khuatir, kita akan menjadi mangsa kepada potensi kita sendiri
dan akhirnya menyebabkan perhubungan sosial kita dengan keluarga, rakan taulan,
rakan sekerja, jiran, masyarakat dan dunia turut menjauhi kita!
Kenali dan
kendalilah emosi kita dengan kecerdasan emosi kita juga. Emosi manusia mampu
diuruskan dengan adanya ilmu pengurusan emosi yang baik. Kenalilah tiga bentuk
produk emosi yang sering membuatkan manusia sakit dan rugi;
i)
Marah
(Anger)
ii)
Bimbang
iii)
Kesedihan
(Sadness)
Allah swt Melarang Kita Untuk Terus Beremosi
Negatif
Tiga bentuk produk
emosi negatef ini sering dominon menguasai diri kita. Dan Al-Quran ada
menjelaskan kepada kita bahawa, kita harus mengurus tiga bentuk emosi ini agar
tidak memberikan kesan terhadap psikologi, fisiologi dan sosial. Renungilah firman Allah swt di
dalam surah Al-Imraan ayat 139 yang bermaksud;
Dan
janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang
akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh
Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh)
beriman.
Menurut
tafsir Ibnu Kathir lagi, ayat ini diturunkan Allah swt bersempena perang Uhud.
Bayangkan polar emosi kaum Muslimin selepas perang. Suami yang tercinta,
sahabat handai, adik beradik telah meninggal dunia akibat perang mempertahankan
agama. Jika kita berada pada situasi ini, sudah tentu emosi kita juga
bergelojak dengan perasaan marah, bimbang dan kesedihan melampau! Namun yang
demikian, Allah swt memerintahkan kepada kaum Muslimin yang masih lagi hidup
agar tidak terlalu lama bergelumang dengan bentuk emosi yang negatif kerana ia boleh
mematahkan semangat untuk terus hidup dan kadangkala boleh membawa kita ke
daerah putus asa!
Disinilah
satu bentuk inspirasi dan motivasi yang tertinggi dari Al-Quran untuk kita
fahami bahawa, potensi emosi yang ada di dalam diri kita ini mampu memberikan
kita kekuatan untuk terus berjuang menempuhi kehidupan ini yang penuh dengan
cabaran. Dan dalam masa yang sama, kita juga boleh menjadi selemah-lemah
manusia jika emosi ini tidak diurus dan dikawal.
Pastikanlah,
apakah bentuk emosi semasa kita pada waktu ini? Kenali dan sentiasalah
mencetuskan polar emosi positif agar anda mampu berasa kuat dan bahagia,. Jika
kini, anda berada di polar yang sebaliknya, maka rawatlah dan carilah penawar supaya
anda kembali tenang, sihat dan harmoni.
No comments:
Post a Comment