Wednesday, 27 June 2012

Penawar Diri Bermula IN-OUT. Bukan OUT-IN


Satu peristiwa besar pernah berlaku mengajar saya tentang persepsi. Selepas tamat saya mengendalikan program latihan bersama belia sekitar jam 11 malam di kem latihan, saya ingin pulang. Kedudukan kem ke pintu masuk utama kem ini jaraknya sekitar 1 kilometer lebih. Dengan keyakinan yang tinggi bahawa pintu pagar ini tidak dikunci, saya terus keluar dari dewan dan menuju ke pintu pagar. Sebaik sahaja sampai di pintu pagar, ternyata pintu pagar itu telah ditutup dan dikunci! Saya cuba halakan lampu kenderaan ke arah kunci pagar, ternyata, ia memang telah dikunci. Saya berkata kepada diri saya sendiri, ini masalah besar! Bagaimana aku ingin keluar dari kem ini?

Saya keluar dari kereta menuju ke pondok pengawal. Kelihatan tiada yang bertugas pada waktu itu. Kemudian, saya kembali ke dalam kereta dan terus kembali memandu menuju ke dewan semula tanpa ke pintu pagar dahulu. Saya berkata lagi pada diri, harap-harap ada penyelia kem di sana! Kebetulan, ada seorang penyelia bertugas di sana dan saya bertanya kepadanya;

Tuan, saya perlukan bantuan. Saya sudah sampaikan di pintu pagar tadi. Pintunya dikunci! Kemudian, penyelia itu berkata

Tuan, pintu itu tidak dikunci sebenarnya! Tuan boleh buka. Tanya saya lagi

Tidak, memang berkunci. Saya sudah lihat tadi! Jawab penyelia

Tidak tuan, tuan boleh buka sebenarnya. Tuan sudah cuba menolak pintu pagarnya? Jawab saya,

Oh, saya tidak cuba lagi. Saya cuma melihatnya sahaja!

Kemudian, saya kembali ke pagar pintu dan keluar dari kereta. Dengan optimis, saya tolak pintu itu ke arah kanan. Ya! Pintu itu sebenarnya tidak dikunci! Cuma kunci mangganya ada di tinggalkan disini. Ia kelihatan seperti dikunci!

Peristiwa ini benar-benar mengajar saya tentang apakah faktor utama yang menghalang kita dari melihat serta memahami perkara yang benar. Ia adalah persepsi, sudut pandang atau pengalaman kita melihat sesuatu perkara. Pintu pagar itu sebenarnya tidak berkunci. Yang mengunci pintu pagar itu adalah persepsi dan pengalaman saya sendiri! Akhirnya, saya tidak mampu keluar dari kem itu!

Pernahkah peristiwa seumpama ini berlaku kepada anda? Pernahkah apa yang anda lihat dan alami selama ini menipu diri anda sendiri? Akhirnya anda turut di’kurung’ dalam situasi yang menyedihkan? Menyakitkan? Itulah persepsi. Jika kita tersalah melihat dan memahami sesuatu perkara, situasi, keadaan dan apa pun di hadapan kita, anda mungkin akan tersilap. Apatah lagi jika kita sudah pernah alami sesuatu perkara, ia menjadi pengalaman. Kadangkala, pengalaman bukanlah ‘guru’ yang boleh diyakini 100% dalam membuat keputusan kehidupan serba unik ini.

Apakah refleksi dari kisah ini? Ya, kadangkala apa yang berlaku kepada kita, membuatkan kita jatuh sakit atau jatuh ke satu kotak yang dinamakan masalah. Kemudian, kita terus menerus mencari jalan penyelesaiannya di luar diri kita. Sedangkan, apa yang menghalang kita atau membuatkan kita menjadi tidak ‘kuat’ adalah apa yang terkandung di dalam diri kita sendiri! Itulah yang berlaku kepada dunia material hari ini.

Manusia terus menerus mencari ‘ubat penenang’ untuk jiwanya yang sakit. Fikirannya yang berkeceramuk. Hati yang gundah gulana. Dan semua simptom yang timbul pada psikologi diri, mereka lebih fokuskan penyembuhan diri dengan model OUT-IN. Oleh kerana itulah ramai yang mencari dadah untuk menenangkan hati. Mengambil pelbagai jenis pil-pil yang dikatakan sebagai penawar kepada masalah. Meminum arak, terlibat dengan masalah seksual, merokok dan sebagainya.

Semua ini adalah dianggap ‘penawar’ kepada apa yang berlaku di dalam diri. Namun hakikatnya, setelah mereka ambil semua ‘penawar’ itu, mereka tetap terhalang dari terus bergerak kehadapan untuk melakukan perubahan. ‘Sakit’ mereka itu terus menerus dialami dengan kekerapan yang lebih tinggi. Kemudian, mereka tetap cuba menyelesaikan ‘masalah’ yang mereka alami itu dengan kaedah atau cara yang sama!

No comments:

Post a Comment