Wednesday, 11 July 2012

Dunia Ini Sentiasa Berubah

Saya baru sahaja selesai berprogram bersama dengan remaja di sebuah sekolah menengah. Topik yang dikongsikan untuk santapan minda dan hati ialah mengenai belenggu remaja. Mengapa topik ini dipilih? Ia adalah bertujuan untuk mengajak remaja hari ini melakukan perubahan atau CHANGE!

Dunia ini senantiasa berubah. Siang bertukar malam dan juga disebaliknya. Pohon-pohonan, haiwan dan seluruh isi kandung alam ini senantiasa berubah. Malah pada diri kita juga turut berlaku perubahan tanpa kita sedar! Lihatlah pada diri kita, ketinggian, bulu rambut, mata, dan seluruh yang ada pada jasad ini senantiasa berubah. Namun yang demikian, terdapat dua elemen, dua objek, dua komponen atau dua benda yang ada pada diri manusia ini sukar untuk menerima atau melakukan perubahan iaitu; hati dan fikiran.

Inilah lokus utama kepada perubahan besar dalam diri manusia dan dunia! Teringat pula kata Stepehen R Covey di dalam bukunya dengan menyatakan; Jika anda ingin perubahan kecil dan sementara, ubahlah penampilan diri anda. Jika anda ingin perubahan yang besar dalam hidup ini, ubahlah cara berfikir! Nescaya dunia anda akan turut berubah!

Ya! Manusia boleh melakukan perubahan pada dirinya menerusi perubahan pada hati dan fikirannya.

Pada bahagian visualkan diri, impian diri sendiri, perubahan yang diimpikan pada diri sendiri, remaja ini berkata; susahnya nak banyangkan! Saya hanya berkata; jika di dalam minda atau fikiran kita ini sukar untuk kita gambarkan atau visualkan sesuatu perubahan pada diri, apatah lagi jika kita ingin terjemahkan perubahan itu dalam tindakan yang nyata! Ia tentu lebih-lebih sukar!

Lakukanlah perubahan atau susunan semula di fikiran kita. Bayangkan, apakah 'unfinished business' yang belum di lengkapkan, apakah perubahan yang diimpikan, apakah bentuk kejayaan yang diimpikan menerusi kecerdasan otak kita. InsyaAllah, dengan izinNya, jika kita sudah mampu melakar, membina, membentuk semua perubahan dan impian di dalam minda sedar kita, maka ia tidak mustahil untuk diterjemahkan kepada tindaka yang lebih realiti!

Inilah cara untuk kita mencapai apa yang kita impikan. Kita mampu visualkan dahulu di dalam minda dan teguhkan lagi dengan suara hati yang sering bersuara. Afirmasikan dengan suara hati dan lidah dengan azam yang teguh dan tinggi untuk melakukan perubahan dan kejayaan yang diimpikan.

Saya juga ditanya; jika apa yang kita bayangkan dalam fikiran kita, tidak pun menjadi atau tidakpun tercapai. Apa bezanya?

Saya tersenyum berkata; apa beza orang yang mempunyai impian dan tidak ada impian?

Apa bezanya orang yang mempunyai emas dengan tiada emas?

Apa bezanya mereka yang mempunyai niat dengan tiada niat?

Sudah pasti ada bezanya bagi semua perkara ini! Perbezaannya ialah, kita sudahpun mampu melihat apa yang kita inginkan berbanding tiada kemampuan untuk melihat apa-apa!

Jika kita sudahpun berasa yakin dengan apa yang kita visualkan, berdoalah kepada Allah swt akan apa yang kita hajatkan itu. Hal ini amat penting kerana ia akan membezakan kita dengan orang yang tiada hubungan positif dengan Tuhan.

Pastikan diri kita senantiasa berhubung dengan Tuhan kerana semua perubahan dan impian kita tiada erti jika tidak dikaitkan dengan Allah swt...

Syamil yusuff 2012

No comments:

Post a Comment