Saya
mempunyai rakan yang mengimpikan sebuah kejayaan berbentuk material. Apabila bertemu
dengannya, beliau sering berkongsi cerita yang up to date tentang
impiannya untuk membeli sebuah kereta mewah. Baginya, kereta impiannya itu atau
dream car-nya adalah satu simbol kepada kepuasan dan simbol kejayaan.
Saya amat menyokong dan memberi motivasi kepadanya agar tetap teguh dengan apa
yang diimpikan. Turut beliau berkongsi dengan apa yang sedang dilakukannya bagi
memastikan impiannya tercapai. Dari apa yang diceritakan, banyak perkara yang
telah dilakukan demi mencapai dream car itu.
Bak kata
pepatah, ada banyak jalan menuju ke tempat yang satu! Tidak kira apa bentuk dan
risiko jalan itu, jika salah satu antara jalan itu tidak menemukan pengakhiran
kepada impiannya, maka beliau ambil jalan (target) yang lain. Bagi saya,
masa, tenaga dan pelbagai lagi modal akan habis sia-sia kerana tiada fokus yang
baik. Pada satu tahap, setelah hampir 5 tahun berusaha, beliau kelihatan penat
dan impiannya masih di awan-awangan! Dan beliau berkata kepada saya, “Aku
dah penat kejar! Semua benda aku sudah buat dan tiada hasil!”. Saya hanya
tersenyum dan terfikir sesuatu tentang daya tahan manusia.
Hei, jika
kita beli roti, jika diperiksa dengan terliti label yang ada pada roti itu
selain harganya, terdapat tarikh luput bukan? Apa maknanya itu? Tarikh itu menerangkan
daya tahan positif bagi roti yang baik dan selamat untuk dimakan supaya anda
tidak sakit perut jika memakannya! Daya tahan makanan ada tempoh masanya.
Bagaimana
pula dengan daya tahan tenaga yang terkandung di dalam bateri? Ada daya tahan
padanya? Sewaktu saya kecil, saya masih teringat bateri jenama Energizer ada
mengeluarkan produk baterinya berserta dengan pita pengukur tenaga bateri.
Setiap orang boleh mengukur berapa peratus tenaga bateri yang masih terkandung
di dalamnya dan amat menyeronokkan apabila saya ambil pita pengukur itu dan
sambungkan pada not negatif dan positif, naik pada skala pita pengukur itu
seperti cahaya! Akhirnya, kita boleh tahu berapa peratus tenaga yang masih ada
padanya. Itulah kisah bateri. Tetapi bagaimana pula dengan diri anda? Anda
mempunyai tempoh daya tahan?
Jawapannya,
ya! Setiap kecerdasan PIES turut mempunyai daya tahan tertentu bergantung pada
dimensi masa!Dan kecerdasan daya tahan ini dinamakan AQ atau Adversity
Quotient.
Ada apa
dengan AQ ini? Apakah kepentingan untuk anda mengetahui tentang AQ ini? Sudah
tentu ia penting untuk anda fahami tentang diri anda sendiri. Walaupun setiap
manusia mempunyai modal dasar, ia tetap mempunyai daya tahan yang berbeza-beza.
Menurut Paul G. Stoltz, AQ ini:
i)
Memberitahu anda seberapa jauh anda mampu
bertahan menghadapi segala ujian dan kemampuan anda untuk mengatasinya.
ii)
AQ juga mampu meramal siapa yang mampu terus
kekal dan siapa yang akan musnah.
iii)
AQ meramalkan siapa yang akan melampaui
harapan-harapan atas kekuatan dan potensi diri mereka serta siapa yang akan
gagal dan
iv)
AQ juga mampu menerangkan siapa yang mudah
mengalah dan siapa yang akan terus berdiri tahan dengan tekanan.
Mari kita
kembali kepada empat kecerdasan utama manusia iaitu PIES. Bagaimana anda boleh
mengetahui bahawa diri anda orang yang memiliki kecerdasan yang baik atau
sebaliknya? Dan bagaimana pula kita boleh mengetahui orang lain turut cerdas
atau tidak? Kajian kontemporari telah menerangkan satu persatu kecerdasan ini.
Malangnya, ia bersifat terpisah-pisah dan seolah-olah setiap kecerdasan manusia
ini berjaya di gunakan pada zaman atau kotak masa tertentu sahaja dalam
menentukan kejayaan. Mengapa saya mengatakan begitu?
Dahulunya,
kecerdasan IQ adalah faktor penyumbang kepada kejayaan seseorang. Namun yang
demikian, peredaran masa terus berlalu dan akhirnya, dunia menyatakan bahawa,
IQ sahaja tidak cukup untuk meraih kejayaan yang lebih tinggi. Hal ini semakin
terbukti dengan ramainya bakat dan orang bijak pandai tetapi sumbangannya
kepada dunia amat kurang dan dunia tidak berkebang pesat dengan bergantung pada
bakat IQ semata-mata.
Mari kita
lihat satu kisah yang dikongsikan oleh Paul iaitu Ted Kaczynski. Seorang yang
di anggap genius kerana berjaya masuk ke
Harvard pada umur 16 tahun dan tamat pada usia 20 tahun. Meneruskan karier
sebagai tenaga pengajar di universiti terkenal di Eropah, namun, beliau hanya
biasa dengan teori, kajian, matematik dan sebagainya, kurang bergaul dan
bersosial, maka kecerdasan emosinya tidak begitu berkembang baik sehinggakan
mendapat gelaran ‘Si Petapa dari Harvard’! Tekanan demi tekanan dari
persekitaran sosial, akhirnya beliau telah membunuh tiga orang dan mencederakan
22 orang dengan bom ciptaannya sendiri. Jelas
di sini, IQ gagal meramal kejayaan sebenar yang harus manusia miliki!
Kemudian,
tahun 1998, formula kejayaan diluaskan lagi dengan munculnya pula istilah EQ, Emotional
Quotient. Pakar psikologi terkenal, Daniel Goleman telah
mempopularkan istilah ini dengan menjelaskan bahawa, selain dari IQ, kayu ukur
penentu lain ialah harus adanya kecerdasan emosi; kemampuan untuk berempati
dengan orang lain, mampu mengenal pasti kapasiti emsoi diri sendiri dan orang
lain, mempunyai kekuatan daya tahan diri yang tinggi dalam menempuh apa sahaja
bentuk tekanan dan tetap unggul dan mampu bergaul secara efektif dengan
persekitaran sosial. Namun yang demikian, pada tahun 2000, EQ telah mula
tenggelam dengan munculnya pula istilah baru dalam mengukur tahap kejayaan orang
millennium iaitu Spiritual Quotient atau SQ.
Secara
ringkasnya, SQ diperkenalkan oleh Prof. Danah Zohar dan Ian Marshall di dalam
buku best seller mereka iaitu Connecting With Our Spiritual
Intelligence. Menurut Danah Zohar,
kecerdasan ini tidak ada kaitan dengan mana-mana aktiviti agama. Tambahnya
lagi, mereka yang tidak mempercayai Tuhan juga memiliki kecerdasan spiritual
dan keperluan pada kecerdasan ini merupakan jalan tertinggi atau kemuncak bagi
seseorang setelah seseorang itu telah memenuhi aktualisasi dirinya terlebih
dahulu seperti yang dijelaskan dalam teori Maslow.
Adakah anda
bersetuju dengan teori logikal ini?
Saya secara
prinsip, pertumbuhan SQ adalah berhubung kait dengan aktiviti keagamaan
terutamanya di dalam agama Islam. Ini adalah kerana, Islam mengajar umatnya supaya
mengoptimumkan empat kecerdasannya secara serentak dan bukan terpisah-pisah.
Dan dalam masa yang sama, anda sudah sedia maklum bahawa, empat kecerdasan ini
juga mempunyai daya tahan yang tertentu dan bergantung pada faktor masa, maka
usaha manusia ini bukanlah hanya bergantung sepenuhnya pada kekuatan diri
sendiri malah melibatkan satu faktor ketuhanan dalam urusan hariannya,
termasuklah urusan dirinya sendiri.
Anda faham
maksud ini? Saya akan mudahkan kefahaman anda berdasarkan ilmu yang dijelaskan
oleh Rasulullah saw di dalam hadis Jibaril yang menerangkan tentang Islam,
Iman, Ihsan dan hari Akhirat.
No comments:
Post a Comment