Tuesday, 18 June 2013

KUASA 3I (ISLAM, IMAN & IHSAN) - Ibrah Terbesar Kehidupan

Refleksi dari makna Islam itu sendiri berdasarkan penghayatan saya, Islam itu adalah satu set
kehidupan yang berorientasikan tindakan (action) dengan menggunakan sepenuhnya keupayaan dan kecerdasan fizikal iaitu tubuh badan kita sendiri. Sebagai contoh, ucapan kalimah suci dalam syahadah, harus dibunyikan dengan menggunakan lidah. Solat, harus menggunakan tangan, kaki dan semua tubuh kita untuk menggerakkan dan menunaikan tuntutan solat. Puasa, menggunakan organ perut, zakat, harus menggunakan semua kekuatan supaya bekerja dan akhirnya mengeluarkan zakat dengan tangan dan apatah lagi perbuatan haji. Seluruh tenaga dan kecerdasan fizikal diperlukan. Malah, digalakkan orang muda atau kuat melakukan ibadah ini dan jika tidak, harus ada pembantu.

Inilah refleksi dalam makna Islam pada dimensi fizikal. Menakjubkan juga, amalan fizikal ini, jika dilaksanakan secara konsisten dan berulang-ulang, mampu memberikan satu titik kesembuhan (Physical healing) yang amat dicari-cari manusia.

Bagaimana pula dengan iman? Rukun Iman yang disampaikan oleh Jibrail kepada Rasulullah saw? Refleksi yang mendalam bagi rukun iman ialah, ia merupakan satu set kepercayaan atau believe yang standard, mutlak dan tidak boleh diubah-ubah untuk manusia wujudkan agar mampu mengharungi cabaran kehidupan ini dengannya. Hal ini adalah kerana, sistem kepercayaan adalah salah satu ‘teknologi’ yang menjadikan manusia itu manusia atau bukan manusia walaupun mereka dilihat secara fizikalnya adalah manusia!

Keyakinan amat berpengaruh tinggi terhadap tindakan dan pembentukan karakter sebagai manusia. Dan sikap serta tindakan anda bergantung dengan keyakinan yang tertanam di dalam hati dan fikiran anda!

Jika anda yakin bahawa dunia ini tiada Tuhan yang mengaturkan siang dan malam, maka tindakan seharian anda akan melampaui batas. Jika anda percaya bahawa tiada malaikat yang memelihara dan mencatat setiap perbuatan atau tingkahlaku seharian anda, maka anda akan bertindak sewenang-wenangnya melakukan kezaliman dan kerosakan. Apatah lagi jika anda tidak yakin atau percaya dengan adanya hari kiamat atau hari kematian, maka anda akan berasa dunia ini adalah tempat untuk menghabiskan waktu dan usia dengan sia-sia. Maka, tanpa adanya sistem kepercayaan atau belief system dalam hati dan minda, manusia akan hidup bagaikan tanpa ada faktor momentum yang mampu menolak dirinya untuk melakukan perkara yang positif kerana manusia ini sering melakukan perkara yang negatif!

Namun yang demikian, Rukun Iman memerlukan kepada akses ilmu pengetahuan yang kukuh (knowing) dan juga merasa (feeling) akan kewujudan setiap elemen yang terkandung di dalam rukun Iman.

Dan bagaimana pula dengan nilai atau values yang menjelaskan bahawa, manusia harus melahirkan satu dimensi tertinggi dalam dirinya dengan mewujudkan satu perhubungan yang rapat dengan Tuhannya? Maka, kuasa Ihsan adalah jawapan kepada kebolehan manusia yang super! Bukankah, kehidupan yang sentiasa berdamping dengan Tuhan merupakan tahap lebih tertinggi dari istilah aktualisasi diri yang diperkenalkan oleh Maslow? Hidup dengan adanya pertalian yang kuat dan konkrit kepada Allah swt dan tiada keraguan padaNya?

Bagaimana perspektif anda kepada kehidupan dunia ini jika anda sudah mampu mengendalikan diri anda dengan set tindakan yang terarah berdasarkan set rukun Islam dan disertakan dengan set kepercayaan yang tinggi kepada elemen rukun Iman? Bukankah unsur ketiga iaitu nilai akan muncul dengan cemerlang dari setiap tindak tanduk anda? Malah, anda juga tidak mudah terpengaruh dan di’nodai’ dengan ajakan manusia lain dan ‘bukan manusia’! Hal ini telah diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran, bahawa, orang yang mempunyai nilai ihsan dalam tindakannya, maka mereka adalah golongan manusia yang tidak mudah dipengaruhi

i)                   ‘syaitan’ (bukan manusia)

Surah Al Hijr, ayat 39-40 yang bermaksud:

Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan memperelokkan Segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan Aku akan menyesatkan mereka semuanya,"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu Yang ikhlas".

ii)                 dan manusia (manusia yang dikawal oleh nafsu dan serakahnya sendiri)

Surah Yusuf, ayat 24 yang bermaksud:

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadaNya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara Yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan Yang keji, kerana Sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami Yang dibersihkan dari Segala dosa.

* Jika anda memahami bahasa Arab, yang digunakan oleh Al-Quran untuk menerangkan manusia ihsan ini (berdasarkan dua ayat di atas ini) ialah muhlasin

No comments:

Post a Comment