Manusia hari ini sudah faham, malah menguasai pelbagai jenis formula untuk
mencapai puncak tertinggi dalam kehidupan mereka. Ada di antara mereka telah memperolehi
puncak kejayaan atau sukses dalam perniagaan, akademik dan sebagainya. Semuanya
itu mampu di rasakan satu kepuasan dan kebahagiaan yang hakiki. Adakah semua
itu merupakan kejayaan atau puncak yang positif dan hakiki?
Mari kita tanya
pada diri kita. Cuba kita bayangkan, saat kita mendapat markah tertinggi di
dalam kelas semasa kita di bangku sekolah dahulu. Sepanjang tahun
mendapat nombor satu dalam setiap periksaan dan cemerlang. Berapa lamakah rasa
gembira, puas dan sebagainya yang kita rasai di dalam qalb itu bertahan?
Adakah ianya masih terasa sehingga kini? Bayangkan pula saat ketika berada di
universiti. Anda dianugerahkan pelbagai jenis pingat dan kebesaran atas pencapaian akademik anda.
Adakah sehingga hari ini anda mampu menyimpan dan merasakannya semula? Adakah
mampu dirasakan sehingga ke saat ini? Kini, anda bekerja. Selama anda bekerja,
anda sering di anugerahkan pula sijil-sijil penghargaan, pekerja yang
berdisiplin, tokoh cemerlang tahunan dan sebagainya. Adakah anda masih
merasakannya sehingga ke hari ini? Saya pasti anda akan menjawab tidak. Malah,
ia bersifat sementara sahaja dan bukan segala-galanya (hakiki). Namun yang
demikian, apakah yang bersifat hakiki? Yang mampu dirasakan sehingga ke akhir
hayat manusia?
Puncak
kesempurnaan akal adalah dengan terpenuhnya akal itu dengan ilmu. Puncak
kesempurnaan fizikal pula adalah tidak ada kelemahan serta kecacatan di dalam
setiap bentuknya, emosi pula mampu mengawal dan menggunakannya pada tempat dan
situasi yang betul dan adil. Roh manusia pula, ialah kembali kepada yang
menciptakan Roh itu sendiri. Inilah puncak kepada keseluruhan aspek yang ada
pada manusia.
Al-Quran
menjelaskan bahawa, kesempurnaan hakiki bagi manusia yang mampu dirasai pada qalb
mereka ialah dekatnya ia pada sumber Maha Pencipta. Semakin ia dekat, maka
semakin tinggi gelombang inteferens yang mampu dirasakan oleh qalb.
Semakin dekat penghantar iaitu tangan, mata, kaki dan seluruh fungsi tubuh
badan ini mampu membawa qalb ini ke puncak inteferen, maka semakin
kuatlah getarannya, sekaligus mampu merasakan selalu berdamping dengan
rahmatNya serta neniliki kemampuan melakukan sebahagian pekerjaanNya dengan
seizinya. Hal ini ada dijelaskan di dalam hadith Qudsi (Muhammad bin Ya’qub
Kulaini, Ushul al Ka’fi, jil.2, hal 352) yang bermaksud:
Tidak seorang pun dari hambaKu yang mendekatkan diri padaKu dengan sesuatu
yang lebih Aku cintai dari yang telah diwajibkan kepadanya, kemudian dia
mendekatiKu dengan hal-hal yang sunat; tidak seorang pun di antara mereka yang
tidak Aku cintai. Di saat Aku mencintainya, Aku akan menjadi telinga yang
digunakannya untuk mendengar, menjadi mata yang padanya digunakan untuk
melihat, menjadi mulut yang digunakannya untuk berbicara dan menjadi tangan yang
digunakannya untuk melakukan sesuatu.
Inilah bukti akan perbezaan di antara
puncak kesempurnaan yang diterjemahkan oleh antropologi Barat dengan Al-Quran (LAMPIRAN
7). Pada kondisi ini, Qalb Quotient manusia yang jelas arah puncak kesempurnaannya,
akan berada pada tahap yang amat tinggi dan amat tinggi nilainya. Namun yang
demikian, tahap kecerdasan ini tidak mampu di ukur dengan mesin atau apa-apa
sahaja alat pengukur elektronik di muka bumi ini melainkan sumber yang
memberikan kecerdasan itu sendiri yang mampu mengukurnya.
dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada
mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku
Dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan
korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah
seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain
(Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!".
(Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang
Yang bertaqwa;
Al Maidah 27
Model Maslow-PIES
Jika kita lihat
semula di dalam hirarki Maslow, kita
sudah fahami bahawa, untuk mendapatkan kesempurnaan diri, haruslah seseorang
itu mencukupkan atau memenuhi setiap keperluan yang ada pada setiap peringkat.
Peringkat asas atau peringkat pertama yang harus dipenuhi terlebih dahulu ialah
keperluan fisiologikal manusia yang asas seperti makanan, minuman, pakaian dan
seumpamanya. Apabila keperluan ini telah dipenuhi, maka, manusia akan beralih
ke peringkat seterusnya iaitu mula memikirkan tentang keperluan tentang
keselamatan hinggalah ke puncak yang paling tinggi.
Seperti yang
telah dibincangkan di dalam buku TRANSFORMASI PIES, telah disebutkan bahawa,
tidak ramai manusia di muka bumi ini mampu memenuhkan keperluan mengikut tahap.
Persoalan yang timbul; adakah manusia tidak mampu menemukan kesempurnaan
dirinya jika mereka tidak mampu memenuhi keperluannya pada setiap peringkat?
Adakah mereka tidak boleh mempunyai sifat inovasi? Bakat? Pengembangan
sifat-sifat murni mereka?
Pengalaman saya
semasa berada di sebuah kampung penduduk orang-orang Asli di luar bandar,
kehidupan mereka amat jauh berbeza dari kehidupan orang-orang di bandar.
Kehidupan mereka dikelilingi hutan yang hijau dan tebal. Ini lah perbezaan yang
ada pada mereka dengan orang-orang di bandar. Mereka hanya bergantung kepada
hasil pertanian yang diusahakan di kawasan kediaman sekitar mereka. Apabila
perlu, mereka hanya perlu petik dan terus memasaknya! Mudahnya kehidupan
mereka. Bagaimana orang-orang di bandar? Tentu harus ke pasar dan kemudian baru
boleh memulakan kerja-kerja memasak!
Teori Piramid
Maslow
Sehubungan
dengan pengalaman selama hampir lima hari bersama dengan masyarakat di situ, saya
banyak melakukan pemerhatian tentang corak kehidupan mereka di sana. Jika kita
melihat cara hidup mereka dengan kita sudah tentu jauh berbeza. Tetapi yang
menarik perhatian saya ialah, mereka mempunyai ciri-ciri seperti di bawah:
1) Kreatif dalam
membentuk dan membina pola penempatan.
2) Mempunyai daya inovasi
dan sering mencipta alat-alat mengikut keperluan.
3) Sering
bantu-membantu sesama jiran mereka.
4) Mempunyai sifat
rendah diri dan tidak sombong sesama mereka.
5) Prihatin dan
sering memberi kasih sayang di antara jiran, anak-anak jiran dan keseluruhan
kampung.
6) Boleh menerima
dan menterjemahkan nilai kebaikan dalam kehidupan mereka serta menentang
perkara yang merosakkan dan zalim.
Apa yang
mengagumkan saya ialah, mereka (masyarakat orang Asli) dapat menerima dan
menghidupkan cara hidup Islam dengan baik. Inilah yang membuatkan saya berasa
kagum. Bagaimana mungkin, manusia yang hidup di dalam hutan selama bertahun-tahun,
generasi demi generasi, dengan tidak mempunyai pendedahan yang tinggi dengan
dunia luar, mampu menerima nilai (values) yang baik dalam kehidupan
bermasyarakat di tempat mereka. Malah mereka mampu menampilkan satu
kesempurnaan diri dengan adanya sifat-sifat yang dikategorikan oleh Maslow
dalam peringkat tertinggi iaitu Self Actualization? Bukankah mereka ini
dari segi keperluan asas itu tidak mencukupi dan sering kurang berbanding
mereka yang hidup di bandar?
Peristiwa pada
1400 tahun dahulu juga berlaku perkara yang sama. Bagaimana manusia di padang
pasir di semenanjung tanah Arab mampu menerima nilai yang baik dan akhirnya
membina satu tamadun dunia yang hebat malah dikagumi selama hampir beratus abad
lamanya?
Inilah perkara
yang harus kita jelas dalam kefahaman dan keyakinan kita bahawa, tidak
semestinya manusia itu harus mendapatkan kepuasan dan memenuhi segala yang ada
pada peringkat fizikal, tetapi lihatlah kemuncak pada peringkat non-fizikal
yang terkandung di dalam diri kita. Kaki, tangan, telinga, mata, rumah, kereta,
harta dan seluruh yang ada pada peringkat fizikal ini hanyalah sekadar
penghantar kepada kesempurnaan diri.
Puncak
kesempurnaan (self actualization) bukanlah puncak yang paling teratas
selepas puncak fisiologikal, keselamatan dan sebagainya menurut Maslow, tetapi
kesemua ciri yang bermula dari bawah itu adalah penghantar utama manusia menuju
kepada kesempurnaan dirinya yang mampu dicapai dengan kaedah selarikan kesempurnaan
diri.
Konsep selarikan kesempurnaan diri
dalam proses mendapatkan atau memenuhi keperluan fisiologikal, keyakinan diri,
keselamatan dan kasih sayang seseorang manusia itu ialah, setiap penghantar
mempunyai nilai yang baik dalam usaha mendapatkannya. Jika kita tidak
menghiraukan atau mengenepikan nilai kesempurnaan dalam setiap usaha bagi
mendapatkan kesemua elemen tersebut, maka kelakuan atau aktiviti manusia itu
akan dilihat sama seperti usaha seekor haiwan. Anda bayangkan, jika kesempurnaan diri tidak
selari dengan usaha mendapatkan keperluan fisiologikal, maka itulah sebab berlakunya
rompakan, pencurian dan sebagainya demi menuntut sebuah kepuasan di peringkat
fisiologikal tanpa mengira nilai. Masalah ini berpunca akibat dari manusia
tidak selarikan kesempurnaan dirinya dalam usaha tersebut.
Jika manusia mengikuti cara fikir model Maslow, maka, tidak kira apa sahaja
cara dan gaya untuk mendapatkan keperluan fisiologikal itu dikira atas alasan
proses mendapatkan kesempurnaan diri pada puncak. Bukankah manusia seperti ini
akan merasa kesal dan tidak tenang jiwanya di kemudian hari walaupun hidup
mewah dengan harta atau duit dari usaha mencuri? Adakah itu dinamakan
kesempurnaan diri pada puncak? Manusia mendapatkan keselamatan, pujian tetapi
dengan cara sogokan, rasuah dan sebagainya. Adakah manusia itu akan kekal
tenang dalam kehidupannya?
Model Maslow PIES telah saya rangkakan di sempurnakan penjelasannya dengan
meletakkan nilai, untuk apa kita mendapatkan dan memenuhkan keperluan
fisiologikal kita? Untuk apa kita mendapatkan keperluan
keselamatan diri dan keluarga? Untuk apa kita berusaha siang dan malam bagi
meraih sokongan manusia? Dan untuk siapa kita melakukannya? Adakah kerana untuk
memuaskan apa yang manusia rasakan kosong di dalam qalbnya? Jiwanya?
Dirinya?
Sesungguhnya, manusia akan mencapai kesempurnaan dirinya yang sebenar
dengan meletakkan semua usahanya, perilakunya, seluruh hidupnya hanya kepada
Yang Satu, Yang Memberikan manusia makan dan minum, Yang Memberikan manusia itu
perlindungan, Yang Maha Memberikan semuanya kepada semua iaitu kepada Tuhan,
iaitu Allah s.w.t
Model Maslow-PIES
No comments:
Post a Comment