Sunday, 4 August 2013

Kesibukan Penyebab Utama Manusia Hilang Arah (3)

Silence atau kejernihan hati memerlukan kepada satu set latihan diri yang ketat. Mengapa ianya harus begitu? Hal ini adalah kerana, kita sedang berhadapan dengan 'kegilaan' nafsu diri yang amat liar dan sangat berpengaruh. Inilah sumber kelemahan manusia yang sebenar. Suatu tamadun yang megah dan maju boleh menjadi hancur jika nafsu syahawat manusia tidak dikawal sepenuhnya.

Bagaimana untuk melatih nafsu agar fokus hati dan minda mampu dioptimumkan potensinya? Terdapat satu peristiwa yang pernah dikhabarkan bahawa seorang sahabat kepada nabi Muhammad saw bertanya kepada baginda; 'Wahai Rasulullah, si anu suka solat malam. Tetapi, ketika subuh tiba, dia suka mencuri. Baginda menjawab; 'Nanti, solat malamnya akan menghentikan kebiasaannya!' (Qutul Qulub Jilid 1-m/s 161).

Solat malam akan menghentikan perbuatan jahat seseorang? Bukankah hal ini sangat hebat dan luar biasa? Bagaimana hal ini boleh terjadi?

Inilah proses kejernihan hati yang sangat luar biasa mampu mempengaruhi psikologi dan karakter manusia. Apabila agama dan kehidupan disatukan, maka karakter tertentu mampu dibentuk dengan baik. Hal ini ada disebutkan di dalam Al-Quran, surah Al Ankabut, ayat 45 yang membawa maksud; ’Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’....Perbuatan keji dan mungkar adalah satu refleksi diri atau karakter manusia yang tidak tenang jiwanya. Begitu juga dengan kondisi hati dan fikirannya yang sangat bercelaru dan penuh dengan negativiti. Solat pula adalah set latihan bagi meraih kekayaan spiritual secara total. Namun, jika ibadah solat mampu didirikan dengan baik dan sempurna, kecelaruan dan kekeringan spiritual mampu dibasahi dan dibentuk dengan mudah!

Pokok pangkalnya, kita harus jalani satu set latihan yang amat ketat demi meraih ketenangan dan kejernihan hati tadi!


Renungkanlah hadith nabi; Hendaklah kalian selalu bangun malam. Kerana ia dapat menarik redha Tuhan kalian, menghapuskan dosa, tradisi orang soleh sebelum kalian, dapat mencegah dosa, memutuskan jerat syaitan dan menghilangkan penyakit dari tubuh!

Adakah kita sibuk dengan solat malam? atau bagaimana?


No comments:

Post a Comment