Pernah sahabat nabi Muhammad saw bertanya kepada baginda;
"Apa erti atau makna sebenarnya agama itu?"
Jawab nabi; " Agama itu adalah nasihat "
Maka, ditanya lagi oleh sahabat; "Nasihat siapa?"
"Nasihat Allah dan kitabNya, dan Rasulnya dan pemimpin-pemimpin orang Islam dan segalanya orang Muslim yang kebanyakkan (iaitu segala orang yang telah tunduk mengikut dan menjunjung nasihat itu) ~ (Riwayat Ahmad no. 16982, Muslim no. 55 dan Abu Daud no. 4944)
Nasihat? Ya! Memang benar sekali!
Ramai di antara kita yang tidak memahami perspektif agama di dalam hidupnya dan adakalanya di antara kita menganggap bahawa, agama adalah satu bentuk paksaan yang melelahkan kehidupannya kerana merasakan seolah-olah agama telah membataskan dirinya untuk melakukan apa-apa sahaja! Wow! Jangan mudah untuk kita berasa sedemikian kerana ada beberapa perkara yang harus kita lihat dan fahami, untuk apa agama itu disebarkan.
Baru-baru ini, saya ada meneliti beberapa tulisan besar Za'ba yang hebat. Antara bukunya yang sempat saya miliki ialah Mencapai Keluhuran Budi, terbitan DBP. Beliau ada mengajak kita untuk melihat sisih lain dalam menjelaskan, apakah kepentingan dan tujuan agama itu diturunkan oleh Tuhan kepada manusia. Dalam konteks ini, agama yang dimaksudkan ialah Islam.
Namun yang demikian, konsep umum agama di seluruh dunia ini menganjurkan kepada manusia empat perkara iaitu;
i) Menyuruh percaya dan berbuat kebaikan
ii) Melarang agar tidak melakukan perkara kejahatan
iii) Menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang percaya
iv) Menjanjikan balasan yang buruk kepada mereka yang ingkar
Jika kita merenung kembali amalan beragama selama ini, memang benar. Sedar tidak sedar, jika kita benar-benar mempraktikkan amalan beragama sepanjang kehidupan ini, maka kita sebenarnya sedang dilatih oleh Tuhan agar berkelakuan baik dan betul dengan mengikuti akan segala perkara yang dianjurkan di dalam agama itu sendiri. Justeru, kita juga sebenarnya sedang dilatih supaya lebih disiplin dengan cara meninggalkan segala yang dilarang oleh agama agar kita tidak menerima musibah atau kecelakaan sepanjang kehidupan ini. Inilah sisi lain dalam amalan beragama iaitu kita sedang melatih diri atau dilatih oleh Tuhan! Bukankah hal ini sangat hebat?
Perangai manusia, kelakuan manusia amat menakutkan jika mereka tidak mengambil agama sebagai salah satu bentuk nasihat. Mengapa begitu? Ini adalah kerana, manusia ini penuh dengan kelalaian, lupa, ego, zalim, malas dan pelbagai lagi bentuk atau karakter yang negatif. Namun, agama berperanan untuk memastikan manusia bangkit dan berhijrah ke arah atau ke dalam zon aktif.
Lagi, kepentingan agama sebagai nasihat kepada manusia adalah supaya manusia ini sedar dan tahu, malah proaktif menjadikan dirinya sendiri, termasuklah keluarganya, komunitinya, negaranya agar mempunyai satu sistem kepercayaan yang tinggi iaitu mengakui dan meyakini bahawa, terdapat satu sistem atau satu pengajaran yang besar dan hebat, sedang mengatur dirinya dan alam semesta ini menerusi kepercayaan bahawa terdapat Tuhan atau kuasa ghaib yang tinggi, amat berkait rapat dengan kehidupan rohaninya atau spiritualnya. Hal ini adalah kerana, manusia hidup bukanlah hanya semata-mata memenuhi keperluan fizikalnya, intelektual atau emosinya sahaja, tetapi spiritualnya juga.
Tanamkanlah di dalam fikiran bahawa, agama Islam itu adalah satu bentuk nasihat yang penting. Mengapa ia begitu penting sekali untuk kita duduk dengar dan mempraktikkan agama ini? Ia tidak lain tidak bukan hanyalah mengajak manusia agar meraih kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak. Agama sebenarnya berperanan untuk membentuk, mendidik, membesarkan serta mendewasakan manusia sesuai dengan kehidupan-kehidupan lain di dunia ini bagi menjamin akan ketenangan serta kesejahteraan mereka.
Mari kita renungkan;
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kufur. (Al Insan, ayat 3)
No comments:
Post a Comment